Monday, March 31, 2014

PQE3101 Tilawah Dan Tafsir Al-Quran

Tugasan 1:
Menghasilkan satu penulisan analisis hukum beberapa pandangan ulama’ tentang mengambil upah mengajar al-Quran.

1.0 Pengenalan
      Al – Quran merupakan sebuah kitab suci yang diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W secara mutawatir (berperingkat-peringkat) melalui perantaraan malaikat Jibril a.s selama 23 tahun. Setiap ayat suci al-Quran adalah perintah dan kalamullah (kata-kata Allah) yang benar dan nyata. Tidak terdapat sebarang penipuan mahupun penyelewangan dalam proses penyampaian dan pembukuan al-Quran dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Beriman dengan al-Quran juga merupakan satu daripada enam Rukun Iman. Oleh yang demikian, kita hendaklah beriman dengan setiap kebenaran dan perkhabaran yang terdapat di dalam al-Quran sekiranya kita ingin menjadi mukmin yang sejati.

1.1 Ulama’ yang Tidak Bersetuju
         Berhubung permasalahan mengenai hukum mengambil upah mengajar al-Quran, terdapat perselisihan pendapat antara ulama’ tentangnya. Pendapat yang pertama ialah tidak boleh mengambil upah dari pengajaran al-Quran seperti yang diijtihad oleh sebahagian ulama’ seperti Ahmad bin Hambal, Abu Hanifah dan al-Hadawiyah. Mereka berijtihad berdasarkan apa yang diriwiyatkan dari Ubay bin Ka’ab yang berkata “Aku telah mengajarkan seseorang al-Quran kemudian dia menghadiahiku sebuah busur (panah). Maka aku pun mengungkapkan hal ini kepada Nabi S.A.W dan baginda bersabda,” Apabila engkau mengambilnya bererti engkau telah mengambil sebuah busur daripada neraka”. Lalu aku pun mengembalikannya” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud). Selain itu, terdapat juga hadis lain yang menerangkan tentang larangan mengambil upah melalui pengajaran al-Quran. Diriwayatkan Ahmad dan al-Tirmizi, dan dinilai hasan oleh al-Albani iaitu “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia”’.

1.2 Ulama’ yang Bersetuju Mengambil Upah Mengajar al-Quran
          Selain daripada pendapat di atas, pendapat lain sebahagian ulama’ seperti Imam Syafie dan Imam Malik, ialah boleh mengambil upah dari mengajarkan al-Quran berasaskan dalam sahih Bukhari iaitu “Yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah mengajar Kitab Allah”. Dan dalam hadis lain juga ada menyatakan, jika ditentukan jumlahnya, maka tidak boleh. Pendapat ini dipilih oleh al-Halimi. Manakala Abu Laits berkata dalam kitab “al-Bustan” bahawa mengajar al-Quran boleh dilakukan dengan tiga bentuk. Pertama, dengan tujuan untuk beribadah saja, dan tidak mengambil upah. Manakala bentuk kedua pula ialah mengajar dengan mengambil upah. Dan bentuk yang ketiga ialah mengajar tanpa syarat, dan jika ia diberikan hadiah ia menerimanya.
          Berhubung dengan ketiga-tiga bentuk pengajaran di atas, terdapat beberapa pendapat ulama’ mengenai keadaan ini. Bentuk yang pertama dibenarkan kerana mendapatkan pahala daripada Allah SWT, kerana itu adalah amalan para Nabi a.s. Manakala bentuk kedua terdapat perselihan pendapat tentangnya. Sebahagian ulama menyatakan, tidak boleh dengan dalil sabda Rasulullah SAW iaitu, “ Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat”. Sementara sebahagian ulama lain berkata,” Boleh, kerana yang paling utama bagi seorang pengajar adalah tidak menentukan bayaran untuk menghafaz dan mengajar, dan jikapun ia menentukan bayaran itu, maka aku harapkan agar tidak dilarang, kerana ia memerlukannya (kemaslahatan).
        Manakala berhubung bentuk yang ketiga, seluruh ulama telah bersepakat dibolehkan dengan berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW adalah pengajar kepada umat manusia, lalu mereka memberinya hadiah. Dan dengan dalil tentang seseorang yang disengat haiwan telah memberikan hadiah beberapa ekor kambing atas perbuatan sahabat yang telah membacakan surah al-Fatihah terhadapnya lalu menjadi sembuhlah sengatan tersebut. Orang tersebut lalu menghadiahkan sahabat itu beberapa ekor kambing. Sahabat tersebut kemudiannya kembali berjumpa Rasulullah dan bertanya adakah boleh dia menerimanya. Lantas Rasulullah SAW kemudian menyatakan,”Berikanlah aku bahagian dari hadiah itu”.  Disini dapat difahami bahawa hukum menerima hadiah kerana mengajar al-Quran adalah dibenarkan dan tidak terdapat sebarang larangan mahupun perselihan pendapat tentangnya.

1.5 Kesimpulan
           Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan Allah SWT untuk membimbing umat manusia kearah kebenaran supaya tidak tersasar dari jalan kebenaran yang telah ditetapkan-Nya. Oleh itu, kita sebagai umat Islam hendaklah beriman dengan seyakinnya bahawa al-Quran adalah kitab suci yang benar dan terpelihara dari segala penyelewengan. Kita hendaklah menyampaikan kebenaran ini walaupun hanya sekadar sepotong ayat sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW diatas. Manakala berkaitan dengan isu pengambilan upah melalui pengajaran al-Quran, sebaiknya kita mengikut pendapat mazhab masing-masing. Hal ini kerana mengikut pendapat Imam Syafie dan Imam Malik, ianya dibenarkan. Manakala mengikut Imam Ahmad bin Hambal dan Imam Abu Hanifah pula, ianya tidak dibenarkan. Oleh yang demikian, ada baiknya kita merujuk dan berpegang kepada pendapat Imam masing-masing. Bukanlah bermaksud umat Islam ini tidak mempunyai pendapat yang sama, tetapi ini menunjukkan betapa tinggi dan mendalamnya ilmu para ulama’ sehinggakan mereka mampu memahami dan menentukan hukum berkaitan sesuatu permasalahan umat seperti isu mengambil upah mengajar al-Quran ini.
        Tambahan pula, terserahlah kepada individu untuk mengambil upah atau tidak. Tetapi sekiranya dia hendak mengenakan bayaran atau tidak, sebaiknya janganlah terlalu tinggi sehingga boleh menyusahkan orang yang ingin belajar. Hal ini kerana ianya boleh mematahkan semangat umat Islam untuk mempelajari ilmu al-Quran. Dan sekiranya si pengajar mengajar dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang bayaran mahupun upah, maka yakinlah bahawa ganjaran pahala dan keredhaan Allah SWT adalah sentiasa bersamanya di akhirat kelak. Wallahualam.



Tugasan 2:
v   Menulis esei berkaitan dengan konsep Israilliyat dan cara penyerapannya dalam Tafsir serta implikasi terhadap ajaran Islam meriwayatkan Israilliyat.
v     Menerangkan Israilliyat dalam Tafsir, alas an memasukkan Israilliyat dalam Tafsir.

2.1 Pengenalan
            Terdapat dua sumber utama dalam penetapan hukum dan undang-undang dalam Islam iaitu al-Quran dan al-Hadith. Akan tetapi, selain daripada dua sumber utama ini, terdapat juga sumber lain yang boleh memperolehi proses sesebuah hukum mahupun penulisan sejarah Islam dan para nabi sepertimana yang kita ketahui hari ini. Antara sumber lain tersebut ialah Israilliyat. Apakah yang dimaksudkan dengan Israilliyat? Apakah peranan Israilliyat dalam Tafsir? Bagaimanakah cara penyerapannya dalam Tafsir? Terdapat berapakah pembahagian Israilliyat? Semua persoalan ini akan dijawab dalam huraian yang berikut.

2.3 Maksud Israilliyat
       Terlebih dahulu, ada baiknya kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan Israilliyat. Dalam kitab Ushul fi Tafsir. Israilliyat bermaksud, berita yang dinukil dari orang Bani Israil, baik yang beragama Yahudi atau Nasrani. Dan umumnya berasal dari masyarakat Yahudi. Selain itu, terdapat juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Israilliyat membawa beberapa maksud lain iaitu pertama, cerita-cerita terdahulu dan riwayat yang banyak bersumberkan daripada golongan Yahudi berbanding Nasrani. Kedua, riwayat yang disampaikan oleh perempuan Yahudi atau Nasrani. Dan pendapat yang ketiha ialah, perkara yang masuk ke dalam kitab karangan ulama’ silam terutamanya dalam bidang tafsir yang mempunyai susur galur riwayat samada daripada Yahudi atau Nasrani. Adapun riwayat yang tiada asal dan tergantung maka ia dikira sebagai khurafat, atau kisah-kisah palsu. Berdasarkan pendapat di atas, dapatlah difahami bahawa riwayat ini banyak mengambil sumber daripada Yahudi disebabkan ramainya bilangan mereka di Tanah Arab berbanding masyarakat Nasrani. Kemudian, mereka meriwayatkan pula kisah-kisah kepada kaum muslimin setelah memeluk Islam.

2.4 Israilliyat dalam Tafsir
          Dalam kitab Tafsir, terdapat banyak unsur Israilliyat yang boleh didapati. Bahkan unsur ini sesetengahnya agak mengelirukan kerana bercampur dengan kisah-kisah yang terdapat dalam al-Quran. Contoh Israilliyat yang terdapat dalam kitab tafsir ialah kisah Talut dan Jalut, kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis, kisah Nabi Syu’aib dan Nabi Musa, dan Kisah Nabi Musa dengan Firaun. Kebanyakan kisah Israilliyat ini boleh didapati dalam kitab Tafsir Anwar Baidhawi. Kitab tafsir ini telah diterjemah ke dalam bahsa Melayu dan diguna pakai oleh kebanyakan masyarakat Melayu dalam proses mereka untuk memahami kitab Allah.

2.5 Cara Penyerapan Israilliyat dalam Tafsir
           Kemasukan Israilliyat ke dalam kitab tafsir bermula dengan masuknya peradaban Bani Israel yang telah berhijrah ke Semenanjung Arab ke dalam peradaban Arab pada zaman Jahiliah. Bangsa Yahudi telah membawa segala ilmu-ilmu yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka, dan kebanyakan perkara yang berkaitan dengannya. Bahkan mereka juga mewarisi dari satu generasi kepada satu generasi bermula daripada nabi-nabi mereka dan ahli kitab mereka. Mereka juga mempunyai sekolah yang dikenali sebagai ‘al-midras’ sebagai tempat untuk mereka mendalami ilmu mereka serta mempelajari setiap perkara yang diwarisi. Mereka juga mempunyai tempat-tempat untuk beribadah untuk menegakkan syiar agama mereka.
       Setelah pada itu, datang pula ajaran Islam dan kitab Allah SWT. Dalam kitab tersebut  telah terkandung di dalamnya ilmu dan juga agama. Seterusnya tersebar luas dalam kalangan penduduk di Semenanjung Arab. Pada zaman kegemilangan Islam, pusat pemerintahan Islam terletak di Madinah. Ianya diterajui oleh junjungan besar Rasulullah s.a.w. yang merupakan pemerintah pada masa itu. Baginda telah menubuhkan masjid yang diberi nama Masjid al-Nabawi untuk mendidik para sahabat serta mengadakan majlis-majlis ilmu. Pada masa itu juga, terdapat di sekitar Kota Madinah golongan Yahudi yang tinggal bermukim seperti Bani Quraizah, Bani al-Nadir, Yahudi Taima’ dan lain-lain.
Pada masa itu juga, terdapat juga pendeta-pendeta atau ahli kitab Yahudi telah masuk agama Islam. Contohnya seperti Abdullah bin Salam r.a. Mereka telah menjadi tempat rujukan kepada sahabat-sahabat mengenai kisah-kisah yang sama yang terdapat dalam al-Quran dan Taurat. Namun begitu, para sahabat Rasulullah s.a.w. tidak menerimanya secara terus akan tetapi mereka merujuk juga kepada syarak dan logik akal. Mereka akan menolak sekiranya kisah yang sampai kepada mereka itu tidak boleh diterima akal dan syarak.
Orang-orang Arab yang timbul keinginan dalam kalangan mereka untuk mengetahui mengenai kejadian makhluk dan rahsia kejadian makhluk, mereka akan cenderung untuk bertanya kepada ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Antara tempat rujukan mereka seperti Ka’ab bin al-Ahbar, Abdullah bin Salam dan Wahab bin Munabbih. Hal ini kerana, terdapat banyak kisah-kisah Israilliyat yang diriwayatkan oleh mereka dalam kitab-kitab tafsir.

2.6 Pembahagian Dalam Israilliyat
         Dalam menentukan sesebuah riwayat yang terdapat dalam Israilliyat, para ulama telah membahagikan kepada tiga pembahagian. Pertama, berita yang diakui kebenarannya dalam Islam. Berita Israilliyat semacam ini boleh dibenarkan. Dan yang menjadi garis panduan dalam hal seperti ini adalah dalil al-Quran atau hadis bertaraf sahih. Antara contoh hadis tersebut ialah dari Ibnu Mas’ud, bahawasanya ada seorang pendeta Yahudi yang mendatangi Nabi SAW dan mengatakan bahawa,” Wahai Muhammad, kami mendengar bahawa Allah menjadikan langit di satu jari dan semua makhluk juga di salah satu jari. Lalu Allah berfirman,” Sayalah Raja.”
      Setelah mendengar hal ini, Nabi SAW terus ketawa sehinggakan terdapat riwayat mengatakan bahawa terlihat gigi geraham baginda SAW, kerana membenarkan ucapan si pendeta tersebut. Kemudian Nabi SAW membaca firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 67 yang bermaksud “Mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.”
       Pembahagian yang kedua ialah, berita yang didustakan dalam Islam kerana berita semacam ini statusnya adalah batil, dan wajib diingkari. Misalnya, Nabi Isa adalah putra Allah, atau seperti yang disebutkan dalam hadis Jabir seperti berikut, “Orang Yahudi mengatakan, jika seorang suami mendatangi isterinya dari belakang maka anaknya nanti juling.” Kemudian, Allah SWT telah mendustakan anggapan orang Yahudi ini dengan menurunkan firman-Nya iaitu “Isteri kalian adalah ladang bagi kalian, maka datangilah ladang kalian, dari mana saja yang kalian inginkan” (Surah al-Baqarah, ayat 223). Kisah lain dalam kategori ini ialah kisah nabi Yusuf a.s yang berkeinginan kepada isteri pembesar al-Aziz, kisah nabi Daud dan sebagainya yang mengaitkan para nabi dengan dosa syirik, zina dan sebagainya. Abdullah bin Mas’ud pernah menyatakan “Janganlah kamu bertanyakan kepada Ahli Kitab kerana mereka tidak memberi petunjuk kebenaran bahkan menyesatkan kamu. Maka, kamu akan mendustakan yang benar dan membenarkan yang batil.
        Contoh lain ialah kisah Nabi Luth as dengan 2 orang anak perempuannya. Menurut sumber Israilliyat, bahawasanya dua orang anak perempuan Nabi Luth telah memberi bapa mereka minum arak. Hasilnya, kedua-dua anaknya pun hamil dan melahirkan anak. Anak dariapda saudara tua merupakan bapa bagi kaum Muwabiyyin dan anak daripada saudara muda (adik) merupakan bapa bagi Bani Amuan sehinggalah hari ini!! Astarghfirullah! Bagaimana Nabi Luth melakukan perzinaan, sedangkan al-Quran menerangkan bahawa Nabi Luth mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh kaumnya?. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Syu’ara’ ayat 165-166, “Mengapa kamu mendatangi (liwat) jenis lelaki di antara manusia. Dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untuku, bahkan kamu adalah orang yang melampaui batas!”. Atas faktor inilah, mengapa kita sebagai umat Islam seharusnya berhati-hati terhadap penulisan sejarah para anbiya’ yang terdapat unsur Israilliyat di dalamnya.
        Pembahagian yang terakhir ialah bahagian yang tidak terdapat dalam syariat dan Al-Quran samada selari atau bertentangan. Sebenarnya, bahagian ini paling banyak terdapat pada zaman sekarang namun tiada larangan padanya dan tidak juga mendustakannya. Hadith Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari ada menyebutkan, “Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Basyar telah menceritakan kepada kami Usman bin Umar telah mengabarkan kepada kami Ali bin Al Mubarak dari Yahya bin Abu Katsir dari Abu Salamah dari Abu Hurairah berkata, 'Ahli kitab membaca Taurat dengan bahasa ibrani dan menafsirkannya dengan bahasa arab untuk pemeluk Islam! Spontan Rasulullah Shallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Jangan kalian benarkan ahli kitab, dan jangan pula kalian mendustakannya, dan katakan saja '(Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu)
            Contoh kisah pada bahagian ini termasuklah nama Ashabul Kahfi dan bilangan mereka, kisah burung dan Nabi Ibrahim a.s., pokok yang dimakan oleh Nabi Adam a.s. dan sebagainya. Para ulama’ mengatakan kebanyakan kisah bahagian ini adalah khurafat dan dongeng dengan dosa menyebarkannya lebih besar daripada manfaat yang ada padanya. Hal ini kerana, suatu kitab tafsir contohnya akan bertukar kepada kitab lain yang penuh dengan cerita yang tidak boleh diterima akal dan syara’ kerana ia merupakan khayalan dan rekaan pendeta terdahulu yang disebarkan kerana ingin menjauhkan masyarakat Yahudi daripada kitab Taurat yang asli. Bukan itu sahaja, perbuatan ini juga kadang-kadang bertujuan memberikan khidmat kepada raja dan pembesar pada waktu itu.




Refleksi
          Pertamanya, saya berasa bersyukur kerana telah diberi peluang untuk menjalankan kerja kursus untuk subjek Tilawah dan Tafsir al-Quran ini. Sesungguhnya, terdapat pelbagai perkara yang telah saya pelajari sepanjang proses saya untuk menyiapkan tugasan ini. Pertama sekali ialah, kesukaran dalam mencari sumber maklumat yang bersesuaian dan relevan dengan fokus penulisan kerja kursus. Dalam penulisan ini, ada 2 tugasan yang mengfokuskan kepada 2 topik yang berbeza. Topik tersebut ialah pendapat para ulama’ tentang hukum mengambil upah mengajar al-Quran dan Israilliyat dalam kitab Tafsir. Ini adalah masalah terbesar bagi saya kerana mencari sumber maklumat yang berkaitan dengan hal dan hukum agama bukanlah perkara yang mudah. Hal ini kerana saya tidak mempunyai ilmu agama yang cukup. Jadi, untuk mencari buku dan sumber rujukan yang sesuai adalah suatu kesukaran yang perlu saya atasi. Di perpustakaan institut pula tidak mempunyai sumber atau rujukan yang mencukupi. Kebanyakannya hanyalah menyediakan maklumat atau bahan secara umum sahaja. Untuk mencari yang betul-betul membincangkan 2 topik ini, adalah terhad. Dalam menyelesaikan masalah ini, saya banyak merujuk kepada rakan-rakan tentang cadangan buku atau bahan sumber yang boleh dijadikan rujukan. Atas nasihat dan bantuan mereka, saya berjaya mendapatkannya.
         Kedua, saya juga telah mempelajari betapa pentingnya kita memahami dan mendalami ilmu dan hukum-hakam agama Islam yang suci ini. Bayangkan sekiranya kita hanya membaca atau mendengar sesuatu kisah atau ceramah agama, yang tanpa kita sedari sebenarnya berakar umbi kepada sumber Israilliyat. Sudah pasti kita akan mudah mempercayai dan meyakininya seratus-peratus. Sedangkan Nabi SAW sendiri pernah bersabda bahawa, sumber Israilliyat ini tidak dapat dipercayai dan ditolak sepenuhnya. Kita dibenarkan untuk mendengar, tetapi untuk mempercayai atau menolak kesahihan kisah tersebut, tidak digalakkan. Oleh yang demikian, amat penting untuk kita mempelajari ilmu ini. Dengan cara ini, kita dapat memelihara diri dan keluarga bahkan golongan masyarakat daripada mempercayai atau mengamalkan sesuatu suruhan agama yang mungkin pada dasarnya, adalah bertunjangkan sumber Israilliyat yang diragui kesahihannya.
        Akhir sekali, kerja kursus ini telah mengajar saya betapa besarnya jasa para cendakiawan dan ilmuan Islam dalam mengumpul dan menjaga kemaslahatan segala dokumen serta sejarah Islam serta para anbiya’. Sekiranya kita hanya membaca tentang sumber rujukan yang bertunjangkan kepada Israilliyat, kita akan terdedah kepada anasir-anasir bangsa Yahudi yang sudah pastinya menginginkan bangsa mereka nampak hebat dan cemerlang daripada bangsa lain di atas muka bumi ini. Tetapi, dengan merujuk kepada karya dan nukilan karyawan Islam, mereka akan menceritakan hakikat sebenar mengenai sejarah Islam dan kisah para anbiya’. Bahkan para ilmuan juga sudah pasti menjalankan pelbagai penapisan dan rujukan sebelum mereka mendokumentasikan sesuatu bahan ilmiah. Jadi, dengan menghargai jasa-jasa para ilmuan ini, barulah kita akan sedar betapa pentingnya kita mendapatkan sumber rujukan dan bahan maklumat yang sahih. Hal ini kerana, sekiranya kita merujuk kepada sumber yang salah, bermakna kita juga mempelajari dan bakal menyebarkan perkara yang diragui kesahihannya. Bahkan mungkin sahaja perkara tersebut adalah salah. Bukan sahaja kita yang sesat, tapi kita juga menyesatkan orang lain.
            Kesimpulannya, kita hendaklah mendalami ilmu agama terutamanya ilmu al-Quran dan ilmu Israilliyat kerana ia amat membantu kita dalam kehidupan seharian. Sekiranya kita tidak mempunyai ilmu tentang 2 perkara ini, nescaya kita akan mempelajari sejarah Islam dan kisah para anbiya’ secara membuta-tuli. Sedangkan di dalamnya, terdapat banyak sumber Israilliyat yang pastinya akan menyesatkan dan mengelirukan kita sekiranya kita tidak berhati-hati.



Rujukan
A. Fatih al-Yamani, 2013. MENGAMBIL UPAH MENGAJAR AL-QURAN. Diambil pada 10 Mac 2014 daripada http://aljawhar.wordpress.com/2008/11/30/mengambil-upah-mengajar-al-quran/

E. Saefudin, 2009. Upah Mengajar al-Quran. Diambil pada 10 Mac 2014 daripada http://www.eramuslim.com/ustadz-menjawab/menerima-upah-dari-mengajar-dan-membaca-alqur-an.htm

H. Ahmad, 2011. Riwayat Israiliyyat Menurut Perspektif Islam. Diambil pada 12 Mac 2014 daripada https://pondokhabib.wordpress.com/2011/01/31/riwayat-israiliyyat-menurut-perspektif-islam/

M. Masri, 2007. Hukum Mengambil Upah Mengajar al-Quran. Diambil pada 10 Mac 2014 daripada http://soaljawab.wordpress.com/2007/05/09/hukum-mengambil-upah-mengajar-al-quran/

MANHAL, 2010. Riwayat Israiliyyat Menurut Perspektif Islam. Diambil pada 12 Mac 2014 daripada http://www.manhal.pmram.org/2010/12/riwayat-israiliyyat-menurut-perspektif.html

U. Ammi Nur Baits, 2012. Apa itu Israiliyat?. Diambil pada 12 Mac 2014 daripada http://www.konsultasisyariah.com/pengertian-israiliyat/#



No comments:

Post a Comment