Monday, March 31, 2014

Hubungan Etnik

Bincangkan cabaran pelbagai budaya dan pemupukan hubungan etnik di Malaysia.

1.0 Pengenalan
            Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dengan acuannya yang tersendiri. Pelbagai struktur pentadbiran dan rangka perancangan yang amat rapi telah direncana dalam usaha untuk memastikan proses kemajuan dan pembangunan ini terlaksana dengan sistematik. Selepas peristiwa 13 Mei 1969, kunci keamanan, keteguhan, kestabilan dan kemajuan pembangunan negara banyak bergantung kepada perpaduan dan kerjasama masyarakat Malaysia itu sendiri. Pelbagai cabaran harus ditempuhi oleh masyarakat Malaysia disebabkan wujudnya konflik dalam masyarakat majmuk ini. Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik, agama, bahasa dan budaya tentu tidak dapat lari dari menghadapi cabaran hubungan etnik. Usaha-usaha untuk menerapkan semangat perpaduan atau kekitaan di kalangan masyarakat sering menghadapi cabaran serta masalahnya.
            Terlebih dahulu, haruslah diingat bahawa Malaysia telah berjaya keluar daripada kumpulan negara “Mundur” dan kepada negara sedang “Membangun”. Bahkan, Malaysia kini sebenarnya menuju ke arah status negara “Maju”. Oleh yang demikian, aspek keharmonian yang terdapat antara etnik amatlah penting dalam memastikan proses pembangunan dan kemajuan negara akan dapat dilaksanakan dengan mudah dan efektif. Persoalannya, apakah cabaran pelbagai budaya dalam hubungan etnik di Malaysia? Bagaimanakah usaha-usaha yang dilaksanakan dalam pemupukan hubungan etnik ini berlangsung? Dalam penulisan laporan ini, kami akan menghuraikan dengan lebih lanjut lagi dengan merujuk kepada sumber maklumat dan kajian yang pernah dijalankan.

2.0 Cabaran – cabaran

2.1 Politik
            Jadi, apakah cabaran-cabaran pelbagai budaya yang terdapat dalam pemupukan hubungan etnik di Malaysia? Berdasarkan buku “Hubungan Etnik: Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa” karya Mohd Sohaimi Esa, terdapat 5 cabaran yang boleh dijadikan garis panduan yang harus difahami dalam proses pemupukan hubungan etnik ini (Mohd Suhaimi, 2011). Cabaran yang pertama ialah politik. Kita sedia maklum bahawa setiap kaum di Malaysia diwakili oleh parti politik masing-masing. Contohnya, UMNO dan PAS untuk bangsa Melayu, manakala MCA, GERAKAN, dan DAP untuk kaum Cina. MIC pula mewakili kaum India. Keadaan ini akan menyebabkan terhasilnya sebuah situasi politik perkauman yang boleh menimbulkan perasaan kurang senang dan mengukuhkan semangat perkauman yang menebal. Menjadikan keadaan lebih parah lagi ialah, apabila isu-isu perkauman seperti bahasa, pendidikan, agama, kebudayaan, dan ekonomi dipergunakan untuk tujuan berpolitik. Hal ini kerana semua kaum ingin menyuarakan, menjaga serta memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing tanpa mengira perasaan dan kepentingan kaum lain. Akibatnya, mereka akan sukar untuk menerima pemimpin dari kaum lain. Lantas, menyebabkan kerjasama politik menjadi sebuah agenda yang sukar dilaksanakan.

2.2 Ekonomi
            Cabaran yang kedua ialah ekonomi. Menurut buku “Masyarakat Malaysia: Cabaran Sosio-Ekonomi” karangan Jomo K.S, kebanyakan etnik di Malaysia menjalankan bidang pekerjaan yang berbeza (Jomo, 1991). Dengan kata lain, akan terdapat kecenderungan penguasaan ekonomi oleh sesebuah kaum. Contohnya, kebanyakan bangsa Melayu bekerja sebagai petani di sawah dan kebun atau sebagai nelayan di laut. Manakala, bangsa Cina cenderung ke arah pelombongan bijih timah dan peniagaan di bandar. Kaum India pula bekerja sebagai penoreh getah dan pekerja ladang kelapa sawit.. Akibatnya, berlakulah jurang yang luas bagi setiap kaum iaitu kurangnya interaksi yang kerap antara kaum. Mereka lebih cenderung kepada interaksi di kalangan kaum yang sama lalu menyebabkan semangat perkauan menjadi semakin menebal. Jurang yang luas dari segi penguasaan ekonomi ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan pendapatan. Oleh itu, setiap kaum akan  berusaha mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar daripada pertumbuhan ekonomi dan peluang ekonomi yang wujud. Akhirnya, berlakulah persaingan untuk kepentingan kaum masing-masing.

2.3 Sosial
            Cabaran yang seterusnya ialah sosial. Kita dapat melihat bagaimana terdapatnya pemisahan penempatan antara kaum. Dalam sebuah penulisan jurnal oleh Muhd Tee Abdullah yang bertajuk “CABARAN INTEGRASI ANTARA KAUM DI MALAYSIA: PERSPEKTIF SEJARAH, KELUARGA DAN PENDIDIKAN” kebanyakan bangsa Melayu tinggal di kawasan perkampungan nelayan serta sawah padi, manakala bangsa Cina pula tinggal di kawasan perlombongan bijih timah serta bandar, dan kaum India pula kebanyakkannya tinggal di estet getah dan ladang kelapa sawit (Muhd Tee Abdullah, 2010). Sebenarnya, keadaan ini berpunca daripada dasar pecah dan perintah British sewaktu era penjajahan mereka dahulu. Ia bertujuan untuk meregangkan hubungan dan interaksi pelbagai kaum. Akibatnya, ia memperkuatkan perasaan kekitaan dan etnosentrisme dalam kalangan anggota yang boleh menimbulkan prasangka di kalangan kaum terhadap kaum yang lain. Dan kesan pemisahan ini dapat kita lihat dengan jelas dari segi pakaian, agama, bahasa dan pendidikan. Dari aspek pendidikan pula, sistem persekolahan memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Akibatnya, terbentuklah semangat perkauman yang mendalam dan menimbulkan prasangka. Interaksi juga akan berkisar di kalangan etnik yang sama.

2.4 Agama dan Budaya
            Tambahan pula, faktor agama dan budaya juga merupakan cabaran dalam pemupukan etnik di Malaysia. Hal ini kerana setiap etnik mempunyai agama, adat istiadat, bahasa dan kebudayaan yang berlainan. Perbezaan sedia ada seperti aspek agama, bahasa dan kebudayaan menjadi semakin ketara apabila setiap etnik terus menebal dengan bahasa dan kebudayaan masing – masing. Kesannya, konflik antara kaum akan mudah terjadi. Selain itu, setiap golongan masyarakat juga mengutamakan anggota dari etnik yang sama dalam mendapatkan pekerjaan, memilih sahabat dan mencari teman hidup.  Secara tidak langsung, menyebabkan kesukaran untuk hidup dalam satu masyarakat yang sama. Dengan kata lain, terdapatnya masalah komunikasi antara kaum.

2.5 Globalisasi          
Cabaran yang terakhir ialah faktor globalisasi. Di dalam Kamus Dewan edisi keempat, menyatakan globalisasi membawa definisi proses yang membolehkan sesuatu aktiviti seperti ekonomi, kebudayaan dan sebagainya disebarkan atau diperluas ke pringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi serta dasar terbuka (Kamus Dewan Edisi 4, 2010). Tetapi dalam konteks masyarakat Malaysia pula, globalisasi boleh ditafsirkan sebagai proses perubahan ke arah cara hidup berasakan gagasan ekonomi dan politik Barat. Walaupun negara kita berada di sebelah Timur, tetapi pengaruh dapat dilihat dengan ketara. Memanglah diperakui bahawa globalisasi membawa pengaruh positif seperti negara bergerak maju melalui pendedahan menggunakan teknologi yang tinggi serta pentadbiran yang sistematik. Tetapi, ia juga memberikan pelbagai pengaruh negatif. Pengaruh Barat dari segi ideologi, budaya, hedonisme dan nilai negatif, ekonomi bebas, sains dan teknologi yang memusnahkan serta sistem politik yang dianggap terbaik bagi semua manusia telah dibawa masuk ke dalam masyarakat Malaysia yang murni. Implikasinya ialah, globalisasi menjadi faktor perubah budaya yang kuat dan mengakibatkan nilai-nilai luhur secara tidak kita sedari dan pemikiran Barat semakin diterima secara halus ke dalam masyarakat.

3.0 Usaha – usaha Pemupukan Etnik
            Seterusnya, kami akan membincangkan pula usaha pemupukan hubungan etnik di Malaysia. Sebenarnya, usaha pihak kerajaan ke arah pemupukan hubungan etnik bermula selepas tahun 1957, iaitu sewaktu Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Antara usaha yang dijalankan ialah dengan menggubal Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat bersatu padu. Contohnya, Penyata Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Selain itu, selepas peristiwa 13 Mei 1969, telah diwujudkan Jabatan Perpaduan Negara, Majlis Muhibah Negara dan Majlis Perundingan Negara yang semuanya bertujuan untuk memastikan keharmonian dan perpaduan antara kaum terbina dengan utuhnya. Tambahan pula, Rukun Negara juga telah dihasilkan. Rukun ini berasaskan kepercayaan, keyakinan dan iltizam untuk membentuk jati diri setiap rakyat Malaysia.
            Usaha kerajaan diteruskan lagi dengan Dasar-Dasar Pembangunan Negara yang bertujuan melakukan perubahan dalam aspek sosial, kebudayaan, politik dan ekonomi (Nor Aini, 2004). Pelan Pembangunan Negara ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Dasar Ekonomi Baru (1971 – 1990) yang bertujuan untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan melalui penambahan pendapatan serta memperbanyakkan peluang pekerjaan tanpa mengira kaum atau agama. Pelan seterusnya ialah Dasar Pembangunan Nasional (1991 – 2000) yang bertujuan untuk mencapai pembangunan seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan adil. Pelan terakhir ialah Dasar Wawasan Negara (2001 – 2010) atau lebih dikenali sebagai Wawasan 2020. Pelan ini melibatkan semua aspek dan mensasarkan Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
            Sehubungan itu, suatu perkara haruslah diingat. Untuk mencapai perpaduaan di antara kaum, setiap golongan hendaklah menjaga budi bahasa serta akhlak dalam pergaulan. Manakala adat istiadat pula seharusnya dijadikan peraturan yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh masyarakat terutamanya sewaktu hari perayaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati dan dirai ialah Hari Kebangsaan, Hari Raya Puasa, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung dan sebagainya.

4.0 Penutup

            Kesimpulannya, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang masih memerlukan banyak usaha bagi menyuburkan integrasi antara kaum dan menangani cabaran-cabaran yang sedang dan akan dihadapi apada masa ini. Manakala isu perkauman pula merupakan isu sensitif dan boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni sekiranya permasalahan ini tidak ditangani dengan cara yang betul dan bijaksana. Oleh yang demikian, semua pihak perlulah memainkan peranan dalam bidang kuasa masing-masing bagi menyuburkan integrasi kaum. Haruslah diingat, perpaduan kaum adalah perkara utama yang harus diberi perhatian keranan pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk.

No comments:

Post a Comment