Tuesday, October 21, 2014

KEMUKJIZATAN AL - QURAN DAN PEMBAHAGIANNYA

PENDAHULUAN
Kitab al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang diturunkan istimewa oleh Allah SWT kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan petunjuk kepada umat manusia. Ia berfungsi sebagai kitab rujukan dan panduan kepada mereka dalam segala bentuk urusan kehidupan di dunia ini samada dari segi perundangan, politik, ekonomi, sosial mahupun sejarah. Di samping itu, al-Quran juga diturunkan bersama-sama mukjizat tersendiri yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana kitab suci sebelumnya seperti Zabur, Taurat dan Injil. al-Quran tidak diturunkan untuk umat tertentu seperti 3 kitab suci tersebut. Sebaliknya, al – Quran diturunkan untuk seluruh umat manusia dari zaman nabi Muhammad SAW hingga kiamat. Kemukjizatan Al-Quran ini menunjukkan betapa hebatnya Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Kehebatan al-Quran ini bukan sahaja dari aspek bahasanya yang indah, bahkan isi kandungan dan tatabahasanya yang tepat tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana kitab mahupun percakapan manusia biasa. Di samping itu, al-Quran juga merupakan bukti kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengabaikan sumber rujukan kedua dalam Islam iaitu al-Hadith atau as-Sunnah. Hadith juga merupakan sumber panduan kepada manusia selepas al- Quran. Kedua-dua sumber ini perlu dijaga dan diutamakan dalam melaksanakan segala urusan di dunia ini. Jika kita tidak berpegang kepada kedua-dua sumber ini maka hidup kita akan sesat sepertimana sabda Rasulullah SAW:
"تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. "
"Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah"
Berdasarkan hadith ini dapatlah kita fahami bahawa hidup kita akan diberkati dan dirahmati Allah jika kita benar-benar berpegang kepada kedua-dua sumber rujukan ini. Kita mestilah memelihara dan menjaga kesucian kedua-duanya agar tidak diseleweng dan diubah oleh golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab.

DEFINISI MUKJIZAT
Sebelum merungkai lebih jauh perihal kemukjizatan al-Quran, ada baiknya saya memberi definisi mukjizat itu sendiri. Dari segi bahasa, perkataan mukjizat berasal daripada perkataan Bahasa Arab iaitu a’jaza yang bererti “melemahkan” atau menjadikan tidak mampu. Manakala perkataan mukjiz bermaksud “yang melemahkan” dan perkataan mukjizat ialah sesuatu yang boleh atau mampu melemahkan pihak lain secara menonjol sehingga mampu membangunkan lawan. Dari segi istilah pula, mukjizat ialah "Sesuatu kemampuan atau perkara yang luar biasa dianugerahkan kepada Nabi atau Rasul sebagai bukti kenabiannya, untuk menghadapi tentangan terhadapnya, yang dapat melemahkan manusia dan diluar kemampuan serta tidak mampu dilakukan oleh mana-mana manusia biasa”. Maka Al-Quran ini telah diturunkan kepada Rasulullah sebagai bukti dan tanda kenabian baginda SAW kepada umat manusia. 


1.0 PANDANGAN ULAMA TENTANG KEMUKJIZATAN ALQURAN

1.1 Sudut bahasa
v Al-Quran mengandungi bahasa yang mana orang Arab tidak mampu untuk menandinginya, dan bahasa ini tidak terkeluar dari aturan – aturan kalam mereka, baik lafaz dan huruf-hurufnya mahupun susunan dan uslubnya. Ia juga mengandungi jalinan huruf-huruf yang serasi, ungkapan dan gaya bahasa yang indah. Selain itu, al-Quran memiliki susunan ayat yang teratur, serta tahap kefasihan nahu yang tinggi dan tepat sehinggakan tiada tandingan oleh bahasa manusia biasa.

v Selain itu, al-Quran mengandungi peristiwa dan kisah yang telah berlaku pada zaman lampau dan zaman sebelum Nabi Muhammad SAW. Semua peristiwa tersebut benar-benar berlaku dan bukan mitos ataupun dongeng. Ayat serta surah yang terdapat di dalam al-Quran juga saling berhubung kait antara satu sama lain dan tidak ada sedikit pun percanggahan sama ada dari aspek berita, pengajaran mahupun apa sahaja yang terkandung dalamnya.
v Manusia pasti mudah tertarik sekiranya mereka benar-benar mendengar dan menghayati ayat-ayat al-Quran dengan baik dan teliti. Mereka akan dapat merasakan kemukjizatan yang ada pada al-Quran dari segi bahasanya yang menarik dan indah seperti keteraturan bunyi huruf, bunyi panjang dan dengung (ghunnah) huruf, sehinggakan hati seseorang itu tidak mudah bosan untuk mendengar ayat suci al-Quran yang dibaca. Disamping itu, setiap ayat-ayat dalam al-Quran juga lengkap dari segi lafaz dan maknanya, tidak seperti ucapan manusia biasa yang banyak kekurangan dan kelemahan. Ramai penyair dan ahli bahasa dalam kalangan orang Arab telah mengakui kehebatan al-Quran. Mereka tidak mampu untuk mewujudkan bahasa yang seindah dan selengkap al-Quran. Inilah yang menunjukkan betapa hebatnya al-Quran. Hal ini juga selaras dengan firman Allah SWT di dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang berbunyi :
 
“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah. Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (az-Zumar)

v Firman Allah lagi di dalam Surah An-Nisa’ ayat 82:
 “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (an-Nisa’)
v Menurut Shihab, beliau berpendapat bahawa keunikan dan keistimewaan al-Qur’an dari segi bahasa merupakan kemukjizatan pertama yang ditujukan kepada masyarakat Arab berhubung permasalan dan keadaan yang dihadapi umat pada masa tersebut. Justeru, kemukjizatan yang dihadapkan kepada mereka ketika itu bukan dari segi isyarat ilmiahnya atau segi pemberitaan ghaibnya, kerana kedua aspek ini berada di luar pengetahuan dan kemampuan mereka. Jika seseorang atau masyarakat tidak dapat mengetahui atau merasakan betapa indah dan teliti bahasa al-Qur’an, bukan bererti aspek ini tidak dititikberatkan kepada mereka. Hal ini juga tidak mengurangi keistimewaannya dari segi bahasa. Akan tetapi kerana mereka tidak memahaminya, maka perlu ditampilkan aspek lain dari keistimewaan al-Qur’an yang mereka boleh fahami seperti isyarat ilmiah atau pemberitaan ghaib yang terkandung di dalamnya.

1.2 Sudut Ilmiah (Sains)
v Al-Quran mendorong manusia agar memperhatikan dan memikirkan mengenai kejadian serta penciptaan alam. Di dalam al-Quran terkandung beberapa teori ilmiah dan sains. Namun hanya kepada manusia yang berfikir sahaja yang mampu meneliti dan mengamati berhubung kemukjizatan ini. Apabila manusia sentiasa berfikir dan mengkaji ayat-ayat al-Quran, mereka akan memperolehi ilmu pengetahuan yang banyak dan berguna. Hanya kitab al-Quran sahaja yang merupakan satu-satunya kitab yang benar dan lengkap berbanding dengan kitab-kitab lain.

v Allah telah berfirman di dalam Surah Yunus ayat 24:
“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (Yunus)

v Ayat diatas menunjukkan mengenai kemukjizatan al-Quran dari segi ilmiah. Manusia perlu meneroka ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran. Contohnya, al-Quran juga ada menceritakan mengenai sel-sel darah merah dan sel darah putih. Dalam darah manusia, terkandung 25 trilion sel darah merah untuk memindahkan oksigen dan 25 juta sel darah putih untuk memperbaiki kerosakan pada tubuh. Ini berkaitan dengan proses pemindahan darah dalam tubuh manusia yang berbeza-beza mengikut usia. Jika kita kaji betul-betul al-Quran, kita dapat mengenalpasti ilmu sains ini di dalamnya. Ini merupakan mukjizat dari segi ilmu sains yang terkandung di dalam al-Quran yang telah dikaji oleh pakar sains sejak dahulu lagi.

v Allah SWT juga telah berfirman:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Ar-Rum: 22).

v Dalam kitabnya Jawhir al-Qur’an, Imam Al-Ghazali menerangkan pada bab khusus bahawa seluruh cabang ilmu pengetahuan yang terdahulu dan yang kemudian, baik yang telah diketahui mahupun yang belum, semua bersumber dari al-Qur’an. Al-Imam As-Syatibi tidak sependapat dengan al-Ghazali. Kitab karangannya al-Muwafaqat, beliau berpendapat bahawa para sahabat tentu lebih mengetahui al-Qur’an dan apa-apa yang tercantum di dalam nya, tapi tidak seorang pun di antara mereka yang menyatakan bahawa al-Qur’an merangkumi seluruh cabang ilmu pengetahuan. Menurutnya lagi, dalam perbahasan hubungan al-Qur’an dan ilmu pengetahuan, bukanlah dinilai dengan banyaknya cabang-cabang ilmu pengetahuan yang tersimpul di dalamnya. Bukan pula dengan menunjukkan kebenaran teori-teori ilmiah, tetapi perbahasan hendaklah sesuai dengan kemurnian dan kesucian al-Qur’an serta sesuai juga dengan logik ilmu pengetahuan. Maka perlu digariskan disini bahawa al-Qur’an bukan suatu kitab ilmiah sebagaimana halnya kita-kitab ilmiah yang dikenali selama ini.

v Telah jelas dalam ilmu Allah, bahawasanya sesudah beberapa abad sejak diturunkan al-Qur’an, Allah SWT telah mengetahui akan kedatangan segolongan manusia yang mengatakan sekarang telah berlalu zaman keimanan, dan mulailah zaman ilmu pengetahuan. Oleh sebab itulah Allah telah mencantumkan dalam al-Qur’an mengenai gambaran-gambaran berbagai hakikat alamiah. Hal itu telah dijelaskan terlebih dahulu sejak 14 abad yang silam, sebelum disingkap oleh akal manusia, terutamanya pada mutakhir ini. Dari sini kita memperhatikan, bahawasanya al-Quran senantiasa memberikan pengertian yang baru mengenai kemukjizatannya.

v Al-Quran merupakan kitab yang kekal kemukjizatannya sehingga kiamat. Seandainya kemukjizatan al-Qur’an ini hanya dapat ditonjolkan pada beberapa tempoh dan masa sahaja sudah tentu tiada lagi kemukjizatannya lagi pada masa-masa yang akan datang. Allah telah memberitahu bahawa di masa hadapan akan ada berbagai hakikat dan keterangan bagi seluruh generasi. Namun begitu kita harus sedar bahawa ayat-ayat al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya ditafsir mengikut nafsu, sesuka hati seperti buku-buku ilmiah yang lain.   Oleh karena itulah Rasulullah SAW tidak mentafsirkan wahyu-wahyu yang turun kepadanya selain hukum-hakam agama, sedangkan hukum alam dari hal yang disingkapkan oleh Allah mengenai ilmu yang akan dicapai oleh manusia di masa depan, dan segala yang akan nyata bagi alam ini sesudah itu, maka Rasulullah tidak menerangkan penafsirannya. Hal ini kerana ketidakmampuan akal baginda untuk memahami hakikat-hakikat alamiah itu. Maka yang diterangkan pada waktu itu hanya sedikit saja.

v Al-Quran juga merupakan sebuah kitab petunjuk. Sebagaimana dijelaskan pada permulaan surah al-Baqarah. Sebagai contoh salah satu ayat yang menunjukkan isyarat ilmiah al-Qur’an adalah mengenai keadaan awan dimana Allah menggerakkan awan, kemudian mengumpulkan (bahagian-bahagiannya), kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kemudian turunnya hujan. Hal-hal yang dimaklumkan oleh ayat ini tentang proses turunnya hujan dimulai dari pembentukan awan tebal kerana adanya dorongan angin sedikit demi sedikit. Para ilmuwan menjelaskan bahawa awan tebal bermula dari dorongan angin yang mengiringi kawanan awan kecil menuju ke daerah pusat pertemuan awan (convergence zone). Pergerakan bahagian-bahagian awan ini menyebabkan bertambahnya jumlah wap air dalam perjalanannya terutama di sekitar pusarnya itu.
v Manakala menurut tokoh Barat, Pator Loizon, beliau berkata bahawa nabi Muhammad SAW mewariskan kepada dunia sebuah kitab yang sangat fasih dan mengandungi berbagai budi luhur. Beliau juga berpendapat bahawa al-Quran adalah kitab yang kudus dan tidak terdapat satu permasalahan pun di dalamnya yang bertentangan dengan penemuan ilmiah moden baru-baru ini. Kemudian beliau juga mengatakan bahawa kitab al-Quran ini ternyata amat serasi dan berkait dengan hukum alam.

v Kemudian menurut Maurice, ahli bedah Perancis, beliau berkata “Saya menyelidiki keserasian teks al-Quran dengan sains moden secara objektif dan tanpa prasangka. Mula-mula, saya mengerti, dengan membaca terjemahan, bahwa al-Quran menyebutkan bermacam-macam fenomena alamiah, tetapi dengan membaca terjemahan itu saya hanya memperoleh pengetahuan yang samar (ringkas). Dengan membaca teks Arab secara teliti, saya dapat membuat kesimpulan yang membuktikan bahawa Alquran tidak mengandungi sesuatu pernyataan yang dapat dikritik dari segi pandangan ilmiah di zaman modern ini.”

1.3 Sudut Tasyri’ (Perundangan)
v  Al-Quran menyatakan pelbagai perkara yang merangkumi semua asas dan kaedah yang seharusnya ada dalam setiap undang-undang dan peraturan. Contohnya, Islam mewajibkan keadilan, mengadakan musyawarah, menghilangkan kesempitan, menolak kemudaratan, menunaikan amanah dan merujuk kepada orang yang berkebolehan serta mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan.

v  Dalam penetapan hukum, al-Qur`an telah menggunakan beberapa cara antaranya ialah yang pertamanya secara mujmal. Cara ini digunakan dalam banyak urusan ibadah iaitu dengan menerangkan asas-asas hukum saja. Demikian pula berkaitan mu’amalat (perniagaan), al-Qur`an hanya mengungkapkan kaedah-kaedah secara kuliyah. Sedangkan perinciannya diserahkan pada as-Sunnah dan ijtihad para mujtahid. Cara yang kedua ialah hukum yang agak jelas dan terperinci. Misalnya hukum jihad, undang-undang perang hubungan umat Islam dengan umat lain, hukum tawanan dan rampasan perang.
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (at-Taubah:41)

v  Allah telah menetapkan sesuatu hukum atas dasar keadilan dan keseimbangan dari segi jasmani, rohani, individu mahupun sosial sekaligus dalam aspek ketuhanan. Sebagai cntoh dalam ibadah solat misalnya yang hukumnya wajib bagi setiap muslim yang sudah aqil baligh dan tidak boleh ditinggalkan atau diganti dengan apapun. Dari segi gerakan, banyak kajian yang membuktikan bahawa gerakan solat sangat mempengaruhi saraf manusia, jika ibadah ini dilakukan dengan benar dan khusyuk. Dalam pada itu juga ibadah solat dapat membentuk jiwa menjadi tenang dan selamat. Tambahan pula, hikmah Allah menghukumkan ibadah solat itu wajib ialah kerana melalui ibadah solat yang sempurna dan khusyuk, akan dapat mencegah dari sifat keji dan mungkar.

Demikianlah dapat kita rumuskan rahsia hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran. Kita dapat lihat bahawa hukum yang diturunkan oleh Allah ini tidak lari daripada konsep keadilan dan menjaga kemaslahatan umat manusia. Mustahil bagi mereka untuk mewujudkan hukuman sebaik hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh karena itu, jarang manusia yang mampu mencapai puncak dalam bidang-bidang tersebut kecuali mereka yang memberikan sepenuh tumpuan untuk mempelajarinya bertahun-tahun lamanya. 

No comments:

Post a Comment