Sunday, September 1, 2013

Konsep LINUS (Bahagian 2)


1.5 Prinsip – Prinsip LINUS
Secara asasnya, LINUS memiliki 6 prinsip yang utama iaitu:
              i.        Didik hibur
             ii.        Pengulangan kata
            iii.        Ansur maju
           iv.        Latihan interaktif
            v.        Latihan dari mudah ke susah
           vi.        Belajar sambil bermain

1.6 Kriteria-kriteria pemilihan bahan pembelajaran dan pengajaran LINUS
Dalam proses pembelajaran dan pengajaran LINUS, pemilihan bahan yang betul amatlah penting. Hal ini kerana ia akan mempengaruhi keberkesanan program ini. Oleh yang demikian, berikut adalah kriteria yang perlu diambil kira dalam pemilihan bahan berkaitan iaitu:

              i.        mudah diurus atau ditadbirkan
             ii.        selamat tidak tajam, tidak terlalu berat dan bahaya
            iii.        nilai grafik yang tinggi
           iv.        warna yang ceria dan menarik
            v.        lasak digunakan
           vi.        boleh dipelbagai guna untuk lebih daripada satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran

Oleh itu, para guru yang terlibat dalam pembelajaran dan pengajaran LINUS hendaklah sentiasa berhati-hati dan bijak dalam pemilihan bahan. Kegagalan mereka berbuat demikian boleh menyebabkan murid gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.

1.7 Kemahiran Asas dalam LINUS
Dalam program LINUS ini, terdapat penguasaan kemahiran asas yang berbeza berdasarkan sama ada Numerasi atau Literasi. Berikut adalah pembahagian fokus kemahiran asas berdasarkan 2 kategori tersebut iaitu:
1.7.1 Kemahiran asas Literasi
Secara umumnya dalam Literasi, kemahiran asas ini dibahagikan kepada 3 peringkat seperti dibawah:
                      i.        Tahun 1 – Pelajar berkemampuan untuk  membaca, menulis dan memahami ayat mudah dengan jumlah perkataan minima sebanyak 500 patah perkataan sahaja.
                     ii.        Tahun 2 – Para pelajar boleh membaca, menulis dan memahami ayat mudah yang ada menggunakan kata sendi dengan jumlah minima sebanyak 800 patah perkataan sahaja.
                    iii.        Tahun 3 – Para pelajar berupaya untuk membaca, menulis dan memahami minima 1000 patah perkataan dan ayat mudah dengan kata sendi dalam satu perenggan.
Selain itu, terdapat 12 Konstruk yang diukur dalam Saringan Literasi iaitu:
a)        Konstruk 1  : Keupayaan membaca dan menulis huruf vokal dan konsonan.
b)        Konstruk 2  : Keupayaan membaca dan menulis suku kata terbuka.
c)        Konstruk 3  : Keupayaan membaca dan menulis perkataan suku kata terbuka.
d)        Konstruk 4  : Keupayaan membaca dan menulis suku kata tertutup.
e)        Konstruk 5  : Keupayaan membaca dan menulis perkataan suku kata tertutup.
f)         Konstruk 6  : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup ‘ng’.
g)        Konstruk 7  : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi diftong
h)        Konstruk 8  : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi vokal berganding.
i)          Konstruk 9  : Keupayaan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan konsonan bergabung.
j)          Konstruk 10 : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang berimbuhan awalan dan akhiran.
k)        Konstruk 11 : Keupayaan membaca dan menulis ayat mudah.
l)          Konstruk 12 : Keupayaan membaca, memahami dan menulis ayat berdasarkan bahan rangsangan
1.7.2 Kemahiran asas Numerasi
Seperti Literasi, Numerasi juga dibahagikan kepada 3 peringkat penguasaan iaitu:
a)    TAHUN 1
Kemahiran – Membaca, menulis dan mengira mengikut turutan nombor hingga 50.
Operasi asas – Faham fakta asas tambah dan tolak
Aplikasi – Mengira wang hingga RM 10, memahami masa dan ukuran asas
b)    TAHUN 2
Kemahiran – Membaca, menulis dan mengira turutan nombor hingga 100
Operasi asas – Faham fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi
Aplikasi – Mengira wang hingga RM 50, memahami waktu dalam jam dan mengukur panjang/pendek objek
c)    TAHUN 3
Kemahiran – Membaca, menulis dan mengira mengikut turutan nombor hingga 1000.
Operasi asas – Faham fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi
Aplikasi – Mengira wang hingga RM 100, memahami waktu dalam jam dan minit serta mengukur objek dalam unit piawai
            Dalam saringan Numerasi, ia juga melibatkan 12 Konstruk yang diukur iaitu;
a)        Konstruk 1 : Keupayaan pra nombor dan mengenal angka
b)        Konstruk 2 : Keupayaan membilang
c)        Konstruk 3 : Keupayaan memahami nilai nombor
d)        Konstruk 4 : Keupayaan membuat seriasi
e)        Konstruk 5 : Keupayaan mengenal mata wang Malaysia
f)         Konstruk 6 : Keupayaan menyatakan waktu
g)        Konstruk 7 : Keupayaan mengendalikan operasi asas
h)        Konstruk 8 : Keupayaan mengendalikan operasi asas melibatkan mata wang Malaysia
i)          Konstruk 9 : Keupayaan mengukur panjang objek, jisim objek dan isipadu.
j)          Konstruk 10 : Keupayaan menterjemah ayat biasa kepada ayat matematik dan sebaliknya
k)        Konstruk 11 : Keupayaan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian terhad kepada nombor bulat
l)          Konstruk 12 : Keupayaan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian melibatkan mata wang, masa dan ukuran panjang.

1.8 Penutup

Secara kesimpulannya, Program LINUS ini menegaskan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid yang berkeupayaan kecuali murid berkeperluan khas pada peringkat awal persekolahan. Inisiatif ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada pihak sekolah mahupun para guru. Oleh yang demikian, semua pihak digesa untuk bekerjasama dan saling bertukar idea dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksaan program ini. Dan yang paling penting sekali ialah kita mampu mencapai sasaran seperti yang diterangkan dalam perenggan pendahuluan di atas.

Konsep LINUS (Bahagian 1)

Program LINUS
1.1 Pengenalan
Pada Ogos 2009, Y.A.B Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin telah membentangkan Bidang Keberhasilan Utama (National Key Result Areas/NKRA) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal ini berikutan pihak KPM menyedari bahawa isu asas literasi dan numerasi masih belum dapat diatasi  sepenuhnya walaupun telah dilaksanakan pelbagai program pemulihan. Oleh itu, Program Literasi dan Numerasi telah dirancang dengan teliti dan sistematik untuk memastikan ia mampu membawa impak yang besar kepada proses pembelajaran pada peringkat sekolah rendah.
Sasaran untuk program ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 yang melibatkan murid Tahun 1 di sekolah rendah. Selain itu, Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia telah diamanahkan untuk mengawas, melaksana dan menyelaras Ministry Key Performance Indicator (NKPI) KPM iaitu semua murid yang tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.
Sebenarnya, Program Literasi dan Numerasi ini merupakan penambahbaikan daripada program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk murid Tahun 1 yang dilaksanakan mulai tahun 2006. Selain itu, murid berkeperluan khas yang  dinyatakan di atas meliputi murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah kepelbagaian deria, masalah fizikal, dan terencat akal, kurikulum yang khusus telah dibina.untuk memastikan Program ini terlaksana dengan jayanya dan mencapai matlamat yang ditetapkan, terdapat beberapa garis panduan atau kriteria yang harus diikuti oleh pihak sekolah dan para guru yang terlibat. Kerjasama antara mereka merupakan kunci kepada keberhasilan program ini.

1.2 Definisi LINUS
Definisi LINUS terbahagi kepada dua iaitu:
1.2.1 Definisi Literasi – Ia merangkumi kebolehan murid dalam membaca, menulis serta memahami perkataan, ayat tunggal dan majmuk yang mudah. Dia juga hendaklah mampu mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik dalam kehidupan seharian.
1.2.2 Definisi Numerasi – Ia meliputi kemampuan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah. Dia juga hendaklah mampu untuk mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik tersebut dalam kehidupan seharian.

1.3 Matlamat
LINUS bertujuan melahirkan murid yang normal iaitu tidak ada masalah pembelajaran. Mereka hendaklah menguasai asas Literasi iaitu Membaca dan Menulis serta asas Numerasi iaitu Mengira selepas tahun mengikut pendidikan rendah menjelang 2012.

1.4 Strategi Pelaksanaan di Sekolah
Program ini wajib dilaksanakan di semua sekolah rendah yang terdiri daripada SK, SJKC, SJKT serta SABK. Pada setiap tahun, terdapat 3 peringkat saringan yang dilaksanakan untuk mengenal pasti murid yang layak untuk program ini. Berikut adalah masa peringkat saringan tersebut dilaksanakan:
                      i.        Saringan 1 (Mac) – P & P Linus (April-Mei)
                     ii.        Saringan 2 (Jun) – P & P Linus (Julai-Ogos)
                    iii.        Saringan 3 (September) – P & P (Oktober-November)
Secara umumnya, semua murid Tahun 1 diwajibkan menduduki ujian LINUS Saringan 1 pada awal tahun. Ini bertujuan untuk mengukur tahap penguasaan kemahiran asas mereka. Ujian saringan ini dilaksanakan samaada oleh guru Bahasa Melayu, guru Matematik mahupun guru Pemulihan. Manakala medium perantara yang digunakan untuk Numerasi ialah dwibahasa iaitu Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris, Bahasa Cina-Bahasa Inggeris, dan Bahasa Tamil-Bahasa Inggeris.
      Tambahan pula, guru Pemulihan yang khas ditempatkan di sekolah adalah berdasarkan nisbah murid LINUS tegar. Nisbah guru dan murid bagi program ini ialah seorang guru untuk lima belas orang pelajar (1:15). Ini bertujuan supaya guru mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada kumpulan murid berkenaan. Untuk literasi, para guru pemulihan dicadangkan untuk melaksanakannya selama satu jam dan memberikan tumpuan kepada 4 atau 5 orang murid sahaja. Untuk numerasi, pelaksanaannya juga dalah satu jam. Kedua-dua sesi ini hendaklah dilaksanakan pada setiap hari.

      Selain itu, guru sedia ada untuk mata pelajaran bahasa Malaysia dan Matematik yang melaksanakan aktiviti hendaklah diberi latihan khusus dalam teknik pemulihan dan bimbingan. Ini bertujuan membantu mereka menangani murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi.