Tuesday, October 21, 2014

HADITH PALSU DAN IMPLIKASIKASINYA KEPADA MASYARAKAT

2.1 Pendahuluan
Ø Al-Hadith atau as-Sunnah merupakan sumber rujukan yang kedua selepas al-Quran.  Islam telah meletakkan hadith sebagai tempat rujukan dalam kehidupan seharian umat manusia. Baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. Hadith merupakan sumber yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan alat dakwah kepada umat manusia. Seperti yang kita tahu bahawa hadith Rasulullah SAW dapat digunapakai sehingga ke hari kiamat . Pada zaman Rasulullah SAW, hadith mula dihafal dan dicatat oleh para sahabat. Kemudian diteruskan oleh generasi-generasi salafus soleh berikutnya iaitu golongan tabiin. Mereka memelihara dan mencatat hadith di tempat-tempat tertentu seperti lembaran-lembaran atau disebut sebagai sahifah. Mereka mencatatkan hadith-hadith ini bertujuan untuk memeliharanya daripada hilang dan diseleweng. Pembukuan hadith secara rasminya ialah ketika zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Hal ini berlaku disebabkan banyaknya muncul hadith-hadith maudu’ dan palsu.

Ø Hadith palsu bermula semenjak berlakunya fitnah yang pertama di zaman Saidina Uthman bin Affan.  Fitnah ini timbul disebabkan oleh seorang Yahudi yang bernama Abdullah bin Saba’ kerana beliau tidak bersetuju dengan perlantikan Saidina Uthman sebagai khalifah. Selepas berlakunya peristiwa ini maka umat Islam telah berpecah belah kepada beberapa puak seperti Khawarij, Syiah dan lain- lain. Masing-masing mendakwa mereka daripada puak yang benar. Mereka mengeluarkan hujah dan pandangan yang bernas bagi membuktikan kebenaran mereka. Maka disinilah munculnya beberapa hadith palsu ciptaan merka sendiri sebagai hujah mereka. Seterusnya muncul lagi puak dan mazhab-mazhab lain lagi seperti Ahli Sunnah, Muktazilah, Murjiah, Jabariah, Kamariah dan Jahmiah. Melalui kemunculan mazhab-mazhab inilah menyebabkan perselisihan dalam masalah feqah dan munculnya hadith-hadith palsu.

Ø Kemunculan hadith palsu ini amat membimbangkan masyarakat Islam. Hal ini kerana ia melibatkan akidah umat Islam. Akidah umat Islam akan rosak akibat munculnya hadith palsu.  Dalam masa yang sama ia dapat menjatuhkan kewibawaan agama Islam sebagai agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW, penghulu segala nabi dan rasul. Hal ini kerana hadith palsu ini juga dapat menjatuhkan martabat seorang Nabi. Apabila munculnya hadith palsu maka agama Islam dianggap remeh dan dijadikan bahan sendaan semata-mata. Selain itu kesan negatif lain juga ialah dengan munculnya hadith palsu, akan menyusahkan dan memundurkan umat Islam. Hal ini kerana ada juga beberapa hadith palsu yang wujud mengenai nilai-nilai kezuhudan yang melampau, unsur-unsur khurafat dan kepercayaan yang tidak berasas. Contoh hadith ialah :

“Dunia itu haram untuk ahli akhirat. Akhirat itu haram untuk ahli dunia. Dunia dan akhirat itu haram untuk ahli Allah”

Ø Hadith diatas merupakan hadith palsu yang telah direka oleh kaum sufi yang melampau. Hadith speperti ini menyebabkan umat Islam tidak berdaya saing dan tidak mementingkan urusan dunia. Sedangkan urusan dunia juga merupakan jambatan ke akhirat.  Kesan yang seterusnya ialah melalui kemunculan hadith palsu ini ia boleh memalingkan manusia daripada pelbagai Sunnah yang sahih. Hal ini kerana apabila umat Islam beramal dengan hadith palsu maka mereka mereka akan meninggalkan hadith-hadith sahih. Sebagai contoh, terdapat hadith palsu yang menyebut mengenai doa kononnya datang daripada nabi yang menjanjikan pelbagai kelebihan yang sebenarnya langsung tidak wujud dalam mana-mana hadith yang sahih. Ini akan memberi kesan buruk kepada umat manusia khususnya masyarakat Islam.



2.2 LANGKAH UNTUK MENGELAK DARIPADA BERAMAL DENGAN HADITH PALSU
Ø Hukum mencipta dan meriwayatkan hadith palsu menurut jumhur ulama’ samada salaf dan khalaf adalah dosa besar. Hal ini kerana ia merupakan perbuatan yang mendustakan Rasulullah SAW. Firman Allah di dalam Surah al-Nahl ayat 105 :
Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itulah orang-orang pendusta.(al-Nahl,105)
Ø Berdasarkan ayat di atas Allah SWT telah menegaskan bahawa jatuh hukum kafir seseorang yang telah mendustakan Rasulullah SAW khususnya dalam mencipta dan mereka-reka hadith palsu. Perbuatan mendustakan Rasulullah juga sama seperti mendustakan Allah. Maka tempatnya adalah di neraka jahannam.
Ø Oleh  sebab itu, kita haruslah berhati-hati dalam menggunakan sesuatu hadith dalam urusan kehidupan kita seharian. Kita perlulah mengenal pasti samada hadith tersebut sahih ataupun palsu. Peranan ulama’ atau orang yang mahir dalam ilmu hadith khususnya, perlulah mengambil peranan dalam membentuk dan membimbing masyarakat agar tidak terpengaruh dengan hadith palsu. Sebagai contoh para pendidik dan pendakwah perlulah menyebarkan kepada khalayak ramai berkaitan dengan hadith-hadith yang sah dari Rasulullah SAW berserta terjemahan dan tafsirannya. Melalui cara ini, barulah umat manusia dapat memahami dengan baik dan dapat membezakan mana satu hadith yang boleh digunapakai atau sebaliknya.

Ø Selain itu masyarakat juga perlu sedar bahawa dunia sekarang berhadapan dengan bermacam-macam masalah dan ancaman yang datang terhadap Islam. Musuh-musuh Islam sekarang sudah berani menghina Islam secara terang-terangan. Buktinya dapat kita lihat berita-berita samada di televisyen, radio dan akhbar semuanya berita yang menakutkan serta mengaibkan umat Islam amnya dan agama Islam khususnya. Kita perlu ingat peristiwa fitnah pertama pada zaman Saidina Uthman dulu dimana umat Islam berpecah kepada beberapa puak disebabkan perbalahan antara umat Islam. Maka wujudnya hadith-hadith palsu selepas peristiwa tersebut. 

Ø Sehubungan dengan itu, kita sebagai umat Islam pada hari ini perlulah berhati-hati dan selalu sedar agar tidak berulang peristiwa seumpama itu. Umat Islam haruslah bangkit dan menuju ke hadapan agar menjadi umat yang berilmu dan maju. Apabila munculnya sesuatu yang mengelirukan seperti hadith palsu dan sebagainya dapatlah kita mengenalpasti dan menolak penyelewengan dan pembohongan tersebut. Sebagai contoh, umat Islam perlu membuat kajian terhadap buku-buku ilmiah yang lama dan baharu yang berada di pasaran dan menerokai ilmu-ilmu  yang lebih tinggi. Dalam masa yang sama, masyarakat Islam hendaklah menjinakkan diri mereka dengan majlis-majlis dan kuliah-kuliah agama di masjid mahupun dimana sahaja berhampiran tempat tinggal mereka. Melalui langkah ini masyarakat dan orang ramai bebas daripada penyelewengan agama khususnya hadith palsu.

Ø Pihak kerajaan juga haruslah memainkan peranan penting dalam memastikan institusi hadith ini terpelihara serta berkembang. Contohnya, memperluaskan dan mempertingkatkan pengajian-pengajian Ulum Hadith di sekolah-sekolah, pondok-pondok, madrasah, masjid, surau serta institusi pengajian tinggi. Ini merupakan antara langkah yang baik dalam membanteras masalah penyebaran hadith palsu dan jahat. Kerajaan juga boleh memasukkan tenaga pengajar samada dari luar dan mahupun dari dalam negara yang betul-betul mahir dalam bidang hadith. Hal ini bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang akan memelihara dan menjaga kemurniaan dan kesuciaan hadith Rasullah daripada diubah dan diselewengkan. Kemudian kepada guru di sekolah khususnya guru agama mereka perlulah diberi kursus khas mengenai selok-belok ulum hadith dan hadith-hadith maudu’. Hal ini kerana dibimbangi sekiranya terdapat guru yang menyebarkan hadith yang tidak betul di kalangan murid-murid.

Ø Dalam aspek pemasaran dan jualan pula, pihak yang terlibat juga perlu mengambil peranan dalam memastikan tidak ada buku atau kitab-kitab yang menyebarkan hadith-hadith yang tidak benar. Hal ini kerana binbang hadith-hadith palsu akan tersebar kepada masyarakat melalui pemasaran dan jualan di pasaran. Pihak yang terlibat hendaklah mengenal pasti dan memeriksa terlebih dahulu buku-buku tersebut agar tidak diselitkan ilmu-ilmu atau hadith yang tidak sahih ataupun palsu. Jika ada buku-buku atau bahan ilmiah yang seumpama ini maka hendaklah diharamkan penjualannya di pasaran.

Ø Kemudian peranan masyarakat sendiri perlulah mengelakkan diri mereka daripada menggunakan hadith-hadith maudu’ dalam kehidupan harian. Contohnya, dalam penyampaian khutbah Jumaat di masjid, imam perlulah mengelakkan diri daripada menyelitkan khutbah dengan hadith-hadith palsu.  Hal ini kerana bimbang masyarakat akan berpegang kepada hadith tersebut. Ini juga dapat memecahbelahkan masyarakat kita khususnya masyarakat Islam.

2.3 INSTITUSI HADITH SEBAGAI SUMBER SYARIAT ISLAM YANG KEDUA

Ø Kita selaku umat Islam mestilah sentiasa sedar bahawa hadtih-hadith daripada Rasulullah SAW merupakan pedoman dan panduan yang utama selepas Al-Quran. Hal ini kerana hadith akan menjadi rujukan tambahan kepada Al-Quran. Sebagai contoh segala perlakuan manusia yang tidak dijelaskan hukumnya, tidak diperincikan dalil Al-Quran terhadapnya, tidak dikhususkan hukumnya yang masih mutlak di dalam Al-Quran, maka hendaklah kita merujuk hadith untuk mencari penyelesaiannya.

Ø Maka wajiblah kita sebagai umat Islam agar sentiasa berazam untuk menjaga institusi hadith daripada diseleweng oleh golongan musuh. Para ulama’ telah bersungguh-sungguh dalam memperkembangkan ilmu hadith ini demi menjaga status hadith daripada bercampur aduk dengan sumber-sumber yang diragui. Apabila ada segolongan umat Islam yang sentiasa menjaga dan memelihara hadith-hadith Rasulullah SAW ini, maka agama Islam akan terselamat daripada sebarang bentuk penyelewengan. Maksud menjaga dan memelihara hadith disini ialah kita memastikan sesuatu hadith tersebut sahih, hasan ataupun dhai’f. Sekiranya hadith itu sahih yakni kuat dan kukuh periwayatannya, maka tidak ada lagi pertikaian mengenainya. Sebaliknya jika hadith tersebut dai’f atau lemah. Manakala penerimaan hadith-hadith palsu bermaksud memasukkan unsur bukan agama ke dalam agama. Begitu juga sebaliknya, jika hadith sahih ditolak, ia seolah-olah menolak keluar syariat agama yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda SAW.

Ø Antara langkah yang boleh dilaksanakan untuk memperkasakan institusi hadith ialah memperbanyakkan tempat-tempat, sekolah, madarasah dan pondok-pondok yang mempelajari ilmu hadith. Dalam masa yang sama pihak yang terlibat juga perlu memperbanyakkan kitab-kitab dan buku-buku hadith yang sahih. Ini adalah untuk memberi kemudahan kepada masyarakat khususnya untuk menimba ilmu hadith. Kemudian di tempat tersebut juga haruslah disediakan tenaga pengajar yang benar-benar mahir dalam bidang ilmu hadith. Mereka berperanan memberikan penerangan dan panduan yang lebih terperinci serta menyeluruh kepada masyarakat berhubung ilmu hadith ini. Tambahan pula, apabila masyarakat khususnya pelajar-pelajar didedahkan dengan guru yang mahir, mereka akan mudah untuk merujuk dan memahami sesuatu hadith tersebut samada dari segi kandunganya ataupun status sesebuah hadith itu. Secara tidak langsung akan dapat melahirkan generasi yang akan mahir dan dapat memelihara hadith pada masa akan datang.

Ø Disamping itu juga, langkah yang boleh dilakukan untuk memperkasakan ilmu hadith ialah membuat penambahbaikan dalam matapelajaran Pendidikan Islam di sekolah. Pihak kerajaan juga perlu memberi peruntukan dan bantuan dalam memperkasakan ilmu hadith. Sebagai contoh pihak kerajaan membuat penyusunan semula subjek Pendidikan Islam di sekolah-sekolah seperti banyak memasukkan matapelajaran hadith dan ilmu yang berkaitan dengannya di sekolah. Kemudian pihak kerajaan juga boleh memberi peruntukan kepada pihak sekolah untuk memperkasakan institusi hadith seperti membeli buku-buku hadith untuk diajar kepada murid-murid. Dalam masa yang sama pihak terlibat juga perlu memastikan terdapat guru yang mahir untuk mengajar di sesebuah sekolah tersebut.

Ø Seterusnya ialah memperbanyakkan pengeluaran dan penyebaran buku-buku dan kitab-kitab hadith yang diiktiraf dan berstatus sahih untuk dijual di kedai-kedai seluruh Negara. Dalam masa yang sama juga dengan adanya kemudahan teknologi sekarang, masyarakat mudah untuk mencari maklumat. Maka perlu ada pihak yang mahir dalam ilmu hadith ini untuk memanfaatkan kelebihan teknologi maklumat yang ada bagi menyampaikan ilmu hadith. Sebagai contoh masyarakat boleh merujuk pada laman web tertentu bagi mendapatkan sesuatu maklumat yang tepat mengenai hadith dan ilmu yang berkaitan dengannya. Hal ini bertujuan untuk menyebarkan hadith-hadith yang telah diiktiraf kepada masyarakat. Masyarakat akan lebih memahami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadith apabila mereka mempunyai banyak sumber untuk mereka rujuk. Tambahan pula, dalam kitab-kitab atau buku-buku tersebut telah diselitkan dengan ilmu yang berkaitan dengan hadith seperti sejarah sesuatu hadith itu diturunkan, status hadith tersebut, nama-nama perawi hadith yang masyhur, sanad serta matan yang sahih dan lain-lain. Langkah inilah memberi lebih banyak pengetahuan kepada masyarakat dan pada masa yang sama mereka dapat mengenalpasti jika ada penyelewengan terhadap sesuatu hadith tersebut.

Ø Selain itu juga sebagai umat Islam yang benar-benar cintakan agama Allah maka sudah pasti kita berusaha mendalami ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Jika kita lihat dan mengingati semula tokoh-tokoh dan ulama’ Islam terdahulu seperti Imam Bukhari, Imam Nawawi, Imam Muslim dan lain-lain lagi mereka ini telah berjuang dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu hadith sehingga berjaya mengumpulkan hadith dan menghafaz hadith-hadith tersebut. Kemudian mereka ini juga telah mengkaji hadith dengan mendalam sehinggakan mereka mahir dan pakar dalam bidang hadith. Dalam masa yang sama, mereka juga telah menjadi guru dan menyampaikan ilmu mereka kepada orang ramai agar ilmu tersebut tidak pupus dan hilang pada masa yang akan datang.

Begitulah keperibadian yang telah ditonjolkan  oleh ulama’ terdahulu yang benar-benar mencintai ilmu dan menyebarkannya. Sehinggakan mereka dapat menghasilkan beberapa kitab hadith yang masyhur dan terkenal dalam kalangan masyarakat sehingga ke hari ini.  Keperibadian yang telah ditonjolkan oleh mereka perlulah dijadikan contoh kepada kita hari ini. Para pendakwah Islam pada hari ini perlulah sedar bahawa menjadi satu kewajiban kepada mereka untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Selain itu, mereka juga perlulah menggunakan hadith-hadith yang diiktiraf sahih untuk disampaikan kepada masyarakat. Para pendakwah juga bertanggungjawab menerangkan dan membantu masyarakat untuk mengenalpasti cara-cara menentukan sesuatu hadith itu samada sahih ataupun sebaliknya. Tambahan pula, mereka perlulah mendedahkan kepada masyarakat dengan lebih mendalam mengenai ilmu hadith dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. 





BIBLIOGRAFI
Ahmad Mohd Salleh (2011), Kurikulum, Metadologi dan Pedagogi Pengajian Islam Edisi Kedua KPLI j-QAF, Oxford Fajar Sdn. Bhd., Selangor Darul Ihsan.

Dr. Harussani (2014). Penyelewengan Anti-Hadis. Dipetik pada 21/9/2014 daripada jurnal nukilan Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak yang dibentangkan pada 25 April 2014 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Kalam (2013). Mukjizat al-Quran. Diakses pada 19/9/2014 dari laman web http://myibrah.com/keajaiban-saintifik-al-quran

MyIbrah (2008). Keajaiban Saintifik Al-Quran. Diakses pada 20/9/2014 dari laman web http://myibrah.com/keajaiban-saintifik-al-quran

Syafie (2012). Sejarah Perkembangan Hadith. Dipetik daripada majalah al-Qalam pada 21/9/2014 yang bertarikh Oktober 2012.

Zaharuddin (2006). Bahagian Dua : Keajaiban Al-Quran Diakui Sains & Fakta Ilmu. Telah diakses pada 19/9/2014 dari laman web http://zaharuddin.net/al-quran-&-hadith/62-bahagian-dua--keajaiban-al-quran-diakui-sains-a-fakta-ilmu.html

No comments:

Post a Comment