Tuesday, September 4, 2012

Budaya Institut Pendidikan Guru




Bersempena dengan tema Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”, para guru pelatih yg menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia di seluruh negara diseru untuk merealisasikan hasrat tersebut bersandarkan kepada Budaya Institut Pendidikan Guru. Persoalannya, apakah Budaya Institut Pendidikan Guru tersebut? Ianya terbahagi kepada berapa? Bagaimanakah hasrat tersebut boleh dicapai melalui budaya ini? Semua persoalan ini akan terjawab dalam perenggan – perenggan yg seterusnya. 


Mula – mula sekali, ingin saya menerangkan terlebih dahulu berkenaan konsep Budaya Institut Pendidikan Guru. Konsep ini merupakan antara langkah – langkah yg diambil oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di Kementerian Pelajaran Malaysia. Program ini berhasrat memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru untuk melahirkan guru yang profesional, berketrampilan, berdaya tahan, berakhlak mulia, mengamalkan nilai-nilai murni, berdaya fikir dan cekap teknologi.


Selaras dengan visinya iaitu ‘Sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia dari segi kualiti yang dapat memenuhi aspirasi negara Malaysia’ dan misinya iaitu ‘Melaksana sistem pendidikan guru yang bertaraf dunia untuk memastikan guru-guru sentiasa berketrampilan bagi memenuhi aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia’, Budaya Institut Pendidikan Guru (IPG) telah dilaksanakan. Budaya Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah untuk membina, membentuk dan melahirkan guru yang mengamalkan tujuh dimensi budaya iaitu budaya ilmu, budaya kepimpinan, budaya kerja profesional, budaya akhlak dan moral, budaya estetika, budaya hidup sihat dan budaya penyayang. Untuk memastikan tema Hari Guru pada tahun ini berjaya dicapai, para guru pelatih hendaklah melaksanakan sepenuhnya semua komponen budaya ini. 


Komponen yang pertama iaitu budaya ilmu, terbahagi kepada 5 iaitu pembelajaran sepanjang hayat; berilmu pengetahuan luas mendalam dan terkini (syumul); menguasai, mengamal, menghayati, dan berkongsi ilmu; menjana, mencetus, mengembang dan menyumbang ilmu; serta yang terakhir ialah menyumbangkan penyelidikan. Selaku seorang guru pelatih yang akan mendidik anak bangsa, sewajibnya budaya ini dipegang teguh. Ini kerana, mereka merupakan golongan yang menjadi tempat rujukan dan pemberi panduan dalam bidang ilmu pengetahuan. Dengan memiliki sifat ini, akan lahirlah golongan guru yang cintakan ilmu pengetahuan dan sentiasa bersedia menyumbangkan idea – idea bernas untuk melonjakkan tranformasi pendidikan negara.


Komponen yang kedua ialah budaya kepimpinan. Antara intipati budaya ini ialah kebolehan membuat keputusan, pemikiran reflektif, menghayati visi dan misi IPG, serta aspirasi negara. Guru pelatih akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan dalam proses mereka melaksanakan program pendidikan yang berlangsung selama lima tahun setengah ini. Oleh yang demikian, mereka hendaklah bijak dan rasional dalam membuat keputusan. Selain itu, mereka hendaklah menyertai program – program yang dianjurkan seperti Sukan Tahunan, aktiviti kokurikulum dan sebagainya kerana program seperti ini melatih mereka untuk menjadi pemimpin dan berfikiran kreatif. Maka, para guru pelatih hendaklah menyertai program sedemikian dengan rela hati dan bukannya untuk mendapatkan sijil penyertaan semata – mata. 


Budaya Institut Pendidikan Guru yang ketiga ialah budaya kerja professional. Antara kriterianya ialah meletakkan kerja sebagai amanah dan ibadah, bersikap proaktif, kritis, kreatif, dan inovatif, serta menitikberatkan kerja sepasukan dalam menjayakan aktiviti organisasi. Untuk memastikan hasrat tema hari guru pada tahun ini terlaksana, setiap guru pelatih hendaklah memiliki semua kualiti di atas. Antara cara untuk memperolehinya ialah para guru pelatih haruslah mengawal emosi mereka dengan bijak. Mereka tidak boleh membiarkan perasaan menguasai mereka kerana mereka akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia dalam proses untuk melaksanakan sesuatu perkara. Sikap profesional dan pengurusan emosi amatlah penting untuk memastikan objektif sesuatu agenda berjaya dicapai.


Budaya Institut Pendidikan Guru yang seterusnya ialah budaya estetika. Budaya estetika merujuk kepada ekspresi dan apresiasi terhadap nilai-nilai seni, keindahan dan keharmonian. Terdapat lima asas yang menjadi inti kepada budaya ini iaitu kehalusan budi dan keunggulan peribadi, kesempurnaan kerja, kecantikan dan keindahan seni dan karya, keindahan budaya dan bangsa serta yang terakhir ialah keindahan persekitaran. Guru merupakan suri tauladan yang akan menjadi ikutan dan panduan semua terutamanya para pelajar. Mereka bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan yamg luas, tetapi juga keunggulan peribadi yang tinggi kerana dia akan menjadi golongan yang menentukan corak pendidikan negara. Oleh yang demikian, para guru pelatih hendaklah memastikan mereka memiliki budaya estetika ini dalam diri mereka. Mereka tidak seharusnya leka dengan arus permodenan dan era globalisasi yang menawarkan pelbagai hiburan serta gaya hidup yang melalaikan. Seharusnya mereka tidak terlibat dengan sebarang masalah sosial seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, dan juga pengambilan alkohol. Sebagai bakal guru, mereka hendaklah menjaga diri mereka dengan sebaiknya agar tidak terjebak dengan anasir – anasir jahat tersebut.


Tambahan pula, Budaya Institut Pendidikan Guru yang kelima ini ialah sesuatu yang wajib dalam diri setiap guru pelatih. Ciri – ciri nilai budaya akhlak dan moral ialah sentiasa bersyukur, merendah diri (tawadhuk), redha dengan qada’ dan qadar, taqwa,ikhtiar dan doa serta mematuhi etika. Budaya ini menjadikan para guru pelatih untuk sentiasa yakin dan berusaha yang terbaik untuk mencapai kejayaan dalam mendidik anak – anak bangsa. Setelah berusaha seboleh mungkin memberi yang terbaik, mereka haruslah berdoa dan berserah kepada Tuhan supaya usaha mereka membuahkan hasil yang baik serta bernas. Untuk memiliki kualiti ini, para guru pelatih hendaklah terlebih dahulu bersedia untuk menyertai program – program keagamaan yang dianjurkan oleh pihak Institut Pendidikan Guru atau badan – badan berkaitan. Melalui cara ini, mereka dapat melatih diri mereka untuk menjadi guru pelatih yang bukan sahaja bersedia untuk mengajar ilmu keduniaan, bahkan juga ilmu keagamaan. Dengan berpegang teguh pada agama juga menjadikan para guru pelatih insan yang menjaga akhlak dan perlakuan mereka. Dengan cara ini, mereka pasti boleh membimbing anak – anak murid mereka ke arah yang lebih positif.


Budaya Institut Pendidikan Guru yang seterusnya ialah budaya penyayang. Budaya penyayang ini bukan sahaja bertujuan menyayangi diri sendiri sahaja, tetapi juga menyayangi keluarga, masyarakat, profesion, warga dan organisasi serta alam sekitar. Selain itu, sifat keprihatinan dengan makhluk juga dititikberatkan. Untuk menyerapkan budaya ini dalam diri setiap guru pelatih, maka aktiviti seperti khidmat masyarakat, lawatan ke rumah anak – anak yatim dan orang – orang tua hendaklah diadakan. Selain itu, khidmat masyarakat seperti gotong – royong membersihkan Institut Pendidikan Guru merupakan antara inisiatif yang boleh dilaksanakan. Melalui cara ini, kita dapat menanam sikap sedia berkhidmat dan tolong – menolong dalam diri setiap guru pelatih. 


Akhir sekali ialah budaya hidup sihat. Kriteria – kriterianya ialah kesihatan dan kecergasan fizikal, kematangan emosi, ketenangan rohani dan bertaqwa, persekitaran mesra, keterbukaan minda, positif, matang serta rasional. Disebalik kesibukan menguasai ilmu pengetahuan dan potensi diri, para guru pelatih tidak seharusnya mengabaikan aspek kesihatan. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang berbunyi, “akal yang sihat, dari tubuh badan yang sihat”. Oleh yang demikian, sewajarnya para guru pelatih melibatkan diri dengan aktiviti riadah pada setiap hari seperti bersukan, bersenam, dan sebagainya. Mereka juga hendaklah memperbanyakkan pergaulan yang sihat sesama mereka seperti bersembang dan berkongsi ilmu pengetahuan serta pengalaman kerana semua ini membantu mereka untuk menjadi lebih mesra, positif, matang, dan rasional.


Konklusinya, para guru pelatih hendaklah bersedia secara spiritual, jasmani, emosi dan intelektual dalam proses untuk merealisasikan hasrat “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Tambahan pula, guru pelatih merupakan agen – agen yang memainkan peranan penting dalam memastikan Falsafah Pendidikan Negara berjaya dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment