Monday, April 29, 2013

Rakyat Berjiwa Merdeka


Berdasarkan 10 prinsip Islam Hadhari, huraikan secara terperinci serta refleksi kendiri disamping saranan – saranan idea, bagaimana prinsip – prinsip ini boleh menjadi garis panduan ke arah proses pembangunan negara.

Dalam agama Islam, Islam Hadhari bukanlah sesuatu agama baru. Sebaliknya,ia adalah suatu pendekatan ataupun konsep yang cuba menterjemahkan dan merealisasikan Islam dari sudut pelaksanaan dan pendekatan yang dituntut untuk diikuti oleh umat Islam sendiri berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang berteraskan pegangan Islam sebenar dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, modal pembangunan insan, pembangunan kesihatan dan pembangunan fizikal. Kesannya, ia dapat memantapkan keseluruhan cara hidup sama ada dari aspek jasmani mahupun rohani. Dalam penulisan esei ini, kami akan menghuraikan satu daripada 10 prinsip dalam Islam Hadhari iaitu rakyat berjiwa merdeka.
Sebelum itu, istilah Hadhari secara asasnya adalah ambilan dari perkataan bahasa arab dan diasimilasikan sehingga menjadi sebahagian dari bahasa melayu. Perkataan asalnya adalah 'ai-islam al-hadhari' atau disebut juga sebagai 'civilizational Islam'. Perkataan Hadhari bermaksud bertamadun atau Islam yang menekankan aspek ketamadunan. Secara lengkapnya, Islam Hadhari didefinisikan sebagai suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam. (JAKIM, 2005 : 9).
Dalam memastikan konsep Islam Hadhari ini terlaksana, 10 prinsip telah ditetapkan. Salah satu prinsip utama tersebut ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa merdeka. Apakah maksud berjiwa merdeka? Ianya bermaksud jiwa insan yang tidak memberi kepatuhan mutlak melainkan kepada Allah SWT semata – mata dan kepada rasul – Nya. Kepatuhan kepada makhluk selain dari – Nya  adalah dilarang terutama dalam perkara berbentuk maksiat dan derhaka. Sebuah hadis ada menyebut bahawa tiada ketaatan bagi seseorang yang melakukan atau melibatkan diri dengan perkara maksiat kepada Allah. Sesungguhnya, ketaatan hanya ada dalam perkara yang ma’ruf (baik) sahaja.
 Oleh yang demikian, dalam prinsip jiwa merdeka ini, terdapat beberapa ciri utama. Antaranya ialah berfikiran kreatif dan inovatif. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Qur’an, surah al-Isra’ ayat ke – 70  yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan”.
Masyarakat hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap tertutup dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu. Mereka tidak seharusnya terlalu terpengaruh dengan budaya – budaya songsang atau tidak beretika sepertimana kebiasaan di negara – negara Barat. Budaya pergaulan bebas, perlacuran, lesbian, gay, dan biseksual merupakan contoh budaya songsang yang seharusnya kita jauhi. Budaya seperti ini bukan sahaja mengingkari hukum agama, bahkan juga melanggar norma kehidupan masyarakat Malaysia yang murni dan bertatasusila. 
Tambahan pula, masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah masyarakat yang terlepas daripada peraturan undang-undang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan masyarakat dan negara yang teguh serta utuh. Undang – undang dan peraturan yang kita laksanakan hari ini merupakan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Parlimen Malaysia yang terdiri daripada wakil – wakil pilihan rakyat. Undang – undang yang digubal merupakan kata sepakat rakyat berbilang kaum yang mengutamakan kepentingan semua pihak dan bukannya individu semata – mata. Oleh yang demikian, dengan mematuhi peraturan – peraturan ini, proses ke arah pembangunan negara pasti menjadi lebih mudah dan teratur. Sewajarnya undang – undang ini dilaksanakan dan diamalkan di negara kita.
Selain itu, setiap potensi anggota masyarakat harus digerakkan sebijaksana mungkin sehingga mampu memartabatkan jati diri, imej keluarga, integriti masyarakat, mengekalkan keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Aktiviti seperti kem kepimpinan mahupun motivasi merupakan contoh – contoh program yang seharusnya dikekalkan. Hal ini kerana program – program seperti ini banyak membantu dalam melatih dan melahirkan jati diri yang tinggi di kalangan peserta – pesertanya. Pengalaman yang mereka perolehi bukan sahaja berguna kepada diri mereka, bahkan memberi manfaat kepada orang lain apabila mereka mampu menerapkan dan menyemai nilai – nilai murni dalam kehidupan seharian.
Sesungguhnya, jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Walau bagaimanapun, bukanlah satu kesalahan sekiranya kita mempelajari teknologi dan budaya kerja masyarakat asing. Hal ini kerana, perkara ini boleh membantu kita dalam membangunkan dan meningkatkan taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi dan berkualiti. Tetapi harus diingat, tidak sewajarnya segala kemudahan dan teknologi ini dipergunakan dengan cara yang salah dan bersifat individualistik kerana perkara seperti ini boleh merencatkan pertumbuhan serta pembangunan negara.
Kesimpulannya, makna jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan atau pernyataan luaran semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ianya menuntut pengorbanan dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara, bukannya kepentingan individu semata – mata. Sifat berdikari, positif dan dinamik dalam diri setiap rakyat Malaysia amatlah penting supaya proses pembangunan negara berjalan dengan lancar, mudah serta tersusun mengikut struktur perancangan yang telah ditetapkan. Tambahan pula, 10 prinsip Islam Hadhari yang dilancarkan merupakan garis panduan yang amat penting dalam memastikan hasrat Malaysia untuk melahirkan rakyat berdaya saing dan mengamalkan nilai – nilai murni dalam kehidupan seharian terlaksana dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment