Berdasarkan 10 prinsip Islam
Hadhari, huraikan secara terperinci serta refleksi kendiri disamping saranan –
saranan idea, bagaimana prinsip – prinsip ini boleh menjadi garis panduan ke
arah proses pembangunan negara.
Dalam
agama Islam, Islam Hadhari bukanlah sesuatu agama baru. Sebaliknya,ia adalah
suatu pendekatan ataupun konsep yang cuba menterjemahkan dan merealisasikan Islam
dari sudut pelaksanaan dan pendekatan yang dituntut untuk diikuti oleh umat
Islam sendiri berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Islam Hadhari memberi
penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban
iaitu peradaban yang berteraskan pegangan Islam sebenar dan memberi fokus
kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, modal
pembangunan insan, pembangunan kesihatan dan pembangunan fizikal. Kesannya, ia
dapat memantapkan keseluruhan cara hidup sama ada dari aspek jasmani mahupun
rohani. Dalam penulisan esei ini, kami akan menghuraikan satu daripada 10
prinsip dalam Islam Hadhari iaitu rakyat berjiwa merdeka.
Sebelum
itu, istilah Hadhari secara asasnya adalah ambilan dari perkataan bahasa arab
dan diasimilasikan sehingga menjadi sebahagian dari bahasa melayu. Perkataan
asalnya adalah 'ai-islam al-hadhari' atau disebut juga sebagai 'civilizational
Islam'. Perkataan Hadhari bermaksud bertamadun atau Islam yang menekankan aspek
ketamadunan. Secara lengkapnya, Islam Hadhari didefinisikan sebagai suatu
pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat
menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam. (JAKIM, 2005 : 9).
Dalam
memastikan konsep Islam Hadhari ini terlaksana, 10 prinsip telah ditetapkan. Salah
satu prinsip utama tersebut ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa merdeka.
Apakah maksud berjiwa merdeka? Ianya bermaksud jiwa insan yang tidak memberi
kepatuhan mutlak melainkan kepada Allah SWT semata – mata dan kepada rasul – Nya.
Kepatuhan kepada makhluk selain dari – Nya adalah dilarang terutama dalam perkara
berbentuk maksiat dan derhaka. Sebuah hadis ada menyebut bahawa tiada ketaatan
bagi seseorang yang melakukan atau melibatkan diri dengan perkara maksiat
kepada Allah. Sesungguhnya, ketaatan hanya ada dalam perkara yang ma’ruf (baik)
sahaja.
Oleh yang demikian, dalam prinsip jiwa merdeka
ini, terdapat beberapa ciri utama. Antaranya ialah berfikiran kreatif dan
inovatif. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang
dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat
bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini selaras dengan
firman Allah SWT dalam al-Qur’an, surah al-Isra’ ayat ke – 70 yang bermaksud:
“Dan
sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan kami telah
memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami
telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah
kami ciptakan”.
Masyarakat
hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada
kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap tertutup dalam menghasilkan
pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan
jiwa terus terbelenggu. Mereka tidak seharusnya terlalu terpengaruh dengan budaya
– budaya songsang atau tidak beretika sepertimana kebiasaan di negara – negara
Barat. Budaya pergaulan bebas, perlacuran, lesbian, gay, dan biseksual
merupakan contoh budaya songsang yang seharusnya kita jauhi. Budaya seperti ini
bukan sahaja mengingkari hukum agama, bahkan juga melanggar norma kehidupan
masyarakat Malaysia yang murni dan bertatasusila.
Tambahan
pula, masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah masyarakat yang terlepas
daripada peraturan undang-undang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu
hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan masyarakat dan negara yang
teguh serta utuh. Undang – undang dan peraturan yang kita laksanakan hari ini
merupakan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Parlimen Malaysia yang
terdiri daripada wakil – wakil pilihan rakyat. Undang – undang yang digubal
merupakan kata sepakat rakyat berbilang kaum yang mengutamakan kepentingan
semua pihak dan bukannya individu semata – mata. Oleh yang demikian, dengan
mematuhi peraturan – peraturan ini, proses ke arah pembangunan negara pasti
menjadi lebih mudah dan teratur. Sewajarnya undang – undang ini dilaksanakan
dan diamalkan di negara kita.
Selain
itu, setiap potensi anggota masyarakat harus digerakkan sebijaksana mungkin
sehingga mampu memartabatkan jati diri, imej keluarga, integriti masyarakat,
mengekalkan keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan
yang tidak berbelah bahagi. Aktiviti seperti kem kepimpinan mahupun motivasi
merupakan contoh – contoh program yang seharusnya dikekalkan. Hal ini kerana
program – program seperti ini banyak membantu dalam melatih dan melahirkan jati
diri yang tinggi di kalangan peserta – pesertanya. Pengalaman yang mereka
perolehi bukan sahaja berguna kepada diri mereka, bahkan memberi manfaat kepada
orang lain apabila mereka mampu menerapkan dan menyemai nilai – nilai murni
dalam kehidupan seharian.
Sesungguhnya,
jiwa merdeka harus mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap
terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak
bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap
pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri. Walau bagaimanapun, bukanlah
satu kesalahan sekiranya kita mempelajari teknologi dan budaya kerja masyarakat
asing. Hal ini kerana, perkara ini boleh membantu kita dalam membangunkan dan
meningkatkan taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi dan berkualiti. Tetapi
harus diingat, tidak sewajarnya segala kemudahan dan teknologi ini dipergunakan
dengan cara yang salah dan bersifat individualistik kerana perkara seperti ini
boleh merencatkan pertumbuhan serta pembangunan negara.
Kesimpulannya,
makna jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan atau pernyataan luaran
semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ianya menuntut pengorbanan dan keperluan
bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan negara, bukannya
kepentingan individu semata – mata. Sifat berdikari, positif dan dinamik dalam
diri setiap rakyat Malaysia amatlah penting supaya proses pembangunan negara berjalan
dengan lancar, mudah serta tersusun mengikut struktur perancangan yang telah
ditetapkan. Tambahan pula, 10 prinsip Islam Hadhari yang dilancarkan merupakan
garis panduan yang amat penting dalam memastikan hasrat Malaysia untuk
melahirkan rakyat berdaya saing dan mengamalkan nilai – nilai murni dalam
kehidupan seharian terlaksana dengan jayanya.
No comments:
Post a Comment