PENDAHULUAN
Kitab al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang
diturunkan istimewa oleh Allah SWT kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW
untuk dijadikan petunjuk kepada umat manusia. Ia berfungsi sebagai kitab
rujukan dan panduan kepada mereka dalam segala bentuk urusan kehidupan di dunia
ini samada dari segi perundangan, politik, ekonomi, sosial mahupun sejarah. Di
samping itu, al-Quran juga diturunkan bersama-sama mukjizat tersendiri yang
tidak boleh ditandingi oleh mana-mana kitab suci sebelumnya seperti Zabur,
Taurat dan Injil. al-Quran tidak diturunkan untuk umat tertentu seperti 3 kitab
suci tersebut. Sebaliknya, al – Quran diturunkan untuk seluruh umat manusia
dari zaman nabi Muhammad SAW hingga kiamat. Kemukjizatan Al-Quran ini
menunjukkan betapa hebatnya Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Kehebatan al-Quran
ini bukan sahaja dari aspek bahasanya yang indah, bahkan isi kandungan dan tatabahasanya
yang tepat tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana kitab mahupun percakapan
manusia biasa. Di samping itu, al-Quran juga merupakan bukti kebenaran ajaran
Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengabaikan sumber
rujukan kedua dalam Islam iaitu al-Hadith atau as-Sunnah. Hadith juga merupakan
sumber panduan kepada manusia selepas al- Quran. Kedua-dua sumber ini perlu
dijaga dan diutamakan dalam melaksanakan segala urusan di dunia ini. Jika kita
tidak berpegang kepada kedua-dua sumber ini maka hidup kita akan sesat
sepertimana sabda Rasulullah SAW:
"تَرَكْتُ
فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ
وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. "
"Aku
tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan
sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan Sunnah
Rasulullah"
Berdasarkan hadith ini dapatlah kita fahami bahawa hidup
kita akan diberkati dan dirahmati Allah jika kita benar-benar berpegang kepada
kedua-dua sumber rujukan ini. Kita mestilah memelihara dan menjaga kesucian
kedua-duanya agar tidak diseleweng dan diubah oleh golongan-golongan yang tidak
bertanggungjawab.
DEFINISI
MUKJIZAT
Sebelum merungkai lebih jauh perihal kemukjizatan
al-Quran, ada baiknya saya memberi definisi mukjizat itu sendiri. Dari segi
bahasa, perkataan mukjizat berasal daripada perkataan Bahasa Arab iaitu a’jaza
yang bererti “melemahkan” atau menjadikan tidak mampu. Manakala perkataan mukjiz
bermaksud “yang melemahkan” dan perkataan mukjizat ialah sesuatu yang boleh
atau mampu melemahkan pihak lain secara menonjol sehingga mampu membangunkan
lawan. Dari segi istilah pula, mukjizat ialah "Sesuatu kemampuan atau
perkara yang luar biasa dianugerahkan kepada Nabi atau Rasul sebagai bukti
kenabiannya, untuk menghadapi tentangan terhadapnya, yang dapat melemahkan
manusia dan diluar kemampuan serta tidak mampu dilakukan oleh mana-mana manusia
biasa”. Maka Al-Quran ini telah diturunkan kepada Rasulullah sebagai bukti dan
tanda kenabian baginda SAW kepada umat manusia.
1.0 PANDANGAN
ULAMA TENTANG KEMUKJIZATAN ALQURAN
1.1 Sudut bahasa
v Al-Quran
mengandungi bahasa yang mana orang Arab tidak mampu untuk menandinginya, dan
bahasa ini tidak terkeluar dari aturan – aturan kalam mereka, baik lafaz dan
huruf-hurufnya mahupun susunan dan uslubnya. Ia juga mengandungi jalinan
huruf-huruf yang serasi, ungkapan dan gaya bahasa yang indah. Selain itu,
al-Quran memiliki susunan ayat yang teratur, serta tahap kefasihan nahu yang
tinggi dan tepat sehinggakan tiada tandingan oleh bahasa manusia biasa.
v Selain itu, al-Quran
mengandungi peristiwa dan kisah yang telah berlaku pada zaman lampau dan zaman
sebelum Nabi Muhammad SAW. Semua peristiwa tersebut benar-benar berlaku dan
bukan mitos ataupun dongeng. Ayat serta surah yang terdapat di dalam al-Quran juga
saling berhubung kait antara satu sama lain dan tidak ada sedikit pun
percanggahan sama ada dari aspek berita, pengajaran mahupun apa sahaja yang
terkandung dalamnya.
v Manusia
pasti mudah tertarik sekiranya mereka benar-benar mendengar dan menghayati
ayat-ayat al-Quran dengan baik dan teliti. Mereka akan dapat merasakan
kemukjizatan yang ada pada al-Quran dari segi bahasanya yang menarik dan indah
seperti keteraturan bunyi huruf, bunyi panjang dan dengung (ghunnah) huruf,
sehinggakan hati seseorang itu tidak mudah bosan untuk mendengar ayat suci al-Quran
yang dibaca. Disamping itu, setiap ayat-ayat dalam al-Quran juga lengkap dari
segi lafaz dan maknanya, tidak seperti ucapan manusia biasa yang banyak
kekurangan dan kelemahan. Ramai penyair dan ahli bahasa dalam kalangan orang
Arab telah mengakui kehebatan al-Quran. Mereka tidak mampu untuk mewujudkan
bahasa yang seindah dan selengkap al-Quran. Inilah yang menunjukkan betapa
hebatnya al-Quran. Hal ini juga selaras dengan firman Allah SWT di dalam Surah
az-Zumar ayat 23 yang berbunyi :
“Allah
telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan
isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya),
yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana
mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan
mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang
tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah
hidayah petunjuk Allah. Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu
kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan
(ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah),
maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.”
(az-Zumar)
v Firman
Allah lagi di dalam Surah An-Nisa’ ayat 82:
v Menurut Shihab, beliau
berpendapat bahawa keunikan dan keistimewaan al-Qur’an dari segi bahasa
merupakan kemukjizatan pertama yang ditujukan kepada masyarakat Arab berhubung
permasalan dan keadaan yang dihadapi umat pada masa tersebut. Justeru,
kemukjizatan yang dihadapkan kepada mereka ketika itu bukan dari segi isyarat
ilmiahnya atau segi pemberitaan ghaibnya, kerana kedua aspek ini berada di luar
pengetahuan dan kemampuan mereka. Jika seseorang atau masyarakat tidak dapat
mengetahui atau merasakan betapa indah dan teliti bahasa al-Qur’an, bukan
bererti aspek ini tidak dititikberatkan kepada mereka. Hal ini juga tidak
mengurangi keistimewaannya dari segi bahasa. Akan tetapi kerana mereka tidak
memahaminya, maka perlu ditampilkan aspek lain dari keistimewaan al-Qur’an yang
mereka boleh fahami seperti isyarat ilmiah atau pemberitaan ghaib yang
terkandung di dalamnya.
1.2 Sudut Ilmiah (Sains)
v Al-Quran
mendorong manusia agar memperhatikan dan memikirkan mengenai kejadian serta
penciptaan alam. Di dalam al-Quran terkandung beberapa teori ilmiah dan sains.
Namun hanya kepada manusia yang berfikir sahaja yang mampu meneliti dan
mengamati berhubung kemukjizatan ini. Apabila manusia sentiasa berfikir dan
mengkaji ayat-ayat al-Quran, mereka akan memperolehi ilmu pengetahuan yang
banyak dan berguna. Hanya kitab al-Quran sahaja yang merupakan satu-satunya
kitab yang benar dan lengkap berbanding dengan kitab-kitab lain.
v Allah
telah berfirman di dalam Surah Yunus ayat 24:
“Sesungguhnya
bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit,
lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang
dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan
(pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap
sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang
berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat
berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah
perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang
hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.
Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum
yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” (Yunus)
v Ayat
diatas menunjukkan mengenai kemukjizatan al-Quran dari segi ilmiah. Manusia
perlu meneroka ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran. Contohnya, al-Quran juga
ada menceritakan mengenai sel-sel darah merah dan sel darah putih. Dalam darah
manusia, terkandung 25 trilion sel darah merah untuk memindahkan oksigen dan 25
juta sel darah putih untuk memperbaiki kerosakan pada tubuh. Ini berkaitan
dengan proses pemindahan darah dalam tubuh manusia yang berbeza-beza mengikut
usia. Jika kita kaji betul-betul al-Quran, kita dapat mengenalpasti ilmu sains
ini di dalamnya. Ini merupakan mukjizat dari segi ilmu sains yang terkandung di
dalam al-Quran yang telah dikaji oleh pakar sains sejak dahulu lagi.
v Allah
SWT juga telah berfirman:
"Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian
langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berpengetahuan.” (Ar-Rum: 22).
v Dalam
kitabnya Jawhir al-Qur’an, Imam Al-Ghazali menerangkan pada bab khusus bahawa
seluruh cabang ilmu pengetahuan yang terdahulu dan yang kemudian, baik yang
telah diketahui mahupun yang belum, semua bersumber dari al-Qur’an. Al-Imam
As-Syatibi tidak sependapat dengan al-Ghazali. Kitab karangannya al-Muwafaqat,
beliau berpendapat bahawa para sahabat tentu lebih mengetahui al-Qur’an dan
apa-apa yang tercantum di dalam nya, tapi tidak seorang pun di antara mereka
yang menyatakan bahawa al-Qur’an merangkumi seluruh cabang ilmu pengetahuan.
Menurutnya lagi, dalam perbahasan hubungan al-Qur’an dan ilmu pengetahuan,
bukanlah dinilai dengan banyaknya cabang-cabang ilmu pengetahuan yang tersimpul
di dalamnya. Bukan pula dengan menunjukkan kebenaran teori-teori ilmiah, tetapi
perbahasan hendaklah sesuai dengan kemurnian dan kesucian al-Qur’an serta
sesuai juga dengan logik ilmu pengetahuan. Maka perlu digariskan disini bahawa
al-Qur’an bukan suatu kitab ilmiah sebagaimana halnya kita-kitab ilmiah yang
dikenali selama ini.
v Telah
jelas dalam ilmu Allah, bahawasanya sesudah beberapa abad sejak diturunkan al-Qur’an,
Allah SWT telah mengetahui akan kedatangan segolongan manusia yang mengatakan
sekarang telah berlalu zaman keimanan, dan mulailah zaman ilmu pengetahuan.
Oleh sebab itulah Allah telah mencantumkan dalam al-Qur’an mengenai
gambaran-gambaran berbagai hakikat alamiah. Hal itu telah dijelaskan terlebih
dahulu sejak 14 abad yang silam, sebelum disingkap oleh akal manusia, terutamanya
pada mutakhir ini. Dari sini kita memperhatikan, bahawasanya al-Quran
senantiasa memberikan pengertian yang baru mengenai kemukjizatannya.
v Al-Quran
merupakan kitab yang kekal kemukjizatannya sehingga kiamat. Seandainya kemukjizatan
al-Qur’an ini hanya dapat ditonjolkan pada beberapa tempoh dan masa sahaja
sudah tentu tiada lagi kemukjizatannya lagi pada masa-masa yang akan datang.
Allah telah memberitahu bahawa di masa hadapan akan ada berbagai hakikat dan
keterangan bagi seluruh generasi. Namun begitu kita harus sedar bahawa
ayat-ayat al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya ditafsir mengikut nafsu,
sesuka hati seperti buku-buku ilmiah yang lain. Oleh karena itulah Rasulullah SAW tidak mentafsirkan
wahyu-wahyu yang turun kepadanya selain hukum-hakam agama, sedangkan hukum alam
dari hal yang disingkapkan oleh Allah mengenai ilmu yang akan dicapai oleh
manusia di masa depan, dan segala yang akan nyata bagi alam ini sesudah itu,
maka Rasulullah tidak menerangkan penafsirannya. Hal ini kerana ketidakmampuan
akal baginda untuk memahami hakikat-hakikat alamiah itu. Maka yang diterangkan
pada waktu itu hanya sedikit saja.
v Al-Quran
juga merupakan sebuah kitab petunjuk. Sebagaimana dijelaskan pada permulaan
surah al-Baqarah. Sebagai contoh salah satu ayat yang menunjukkan isyarat
ilmiah al-Qur’an adalah mengenai keadaan awan dimana Allah menggerakkan awan,
kemudian mengumpulkan (bahagian-bahagiannya), kemudian menjadikannya
bertindih-tindih, maka kemudian turunnya hujan. Hal-hal yang dimaklumkan oleh
ayat ini tentang proses turunnya hujan dimulai dari pembentukan awan tebal
kerana adanya dorongan angin sedikit demi sedikit. Para ilmuwan menjelaskan
bahawa awan tebal bermula dari dorongan angin yang mengiringi kawanan awan
kecil menuju ke daerah pusat pertemuan awan (convergence zone). Pergerakan bahagian-bahagian
awan ini menyebabkan bertambahnya jumlah wap air dalam perjalanannya terutama
di sekitar pusarnya itu.
v Manakala
menurut tokoh Barat, Pator Loizon, beliau berkata bahawa nabi Muhammad SAW mewariskan
kepada dunia sebuah kitab yang sangat fasih dan mengandungi berbagai budi
luhur. Beliau juga berpendapat bahawa al-Quran adalah kitab yang kudus dan
tidak terdapat satu permasalahan pun di dalamnya yang bertentangan dengan
penemuan ilmiah moden baru-baru ini. Kemudian beliau juga mengatakan bahawa
kitab al-Quran ini ternyata amat serasi dan berkait dengan hukum alam.
v Kemudian
menurut Maurice, ahli bedah Perancis, beliau berkata “Saya menyelidiki keserasian teks
al-Quran dengan sains moden secara objektif dan tanpa prasangka. Mula-mula,
saya mengerti, dengan membaca terjemahan, bahwa al-Quran menyebutkan
bermacam-macam fenomena alamiah, tetapi dengan membaca terjemahan itu saya
hanya memperoleh pengetahuan yang samar (ringkas). Dengan membaca teks Arab
secara teliti, saya dapat membuat kesimpulan yang membuktikan bahawa Alquran
tidak mengandungi sesuatu pernyataan yang dapat dikritik dari segi pandangan
ilmiah di zaman modern ini.”
1.3 Sudut
Tasyri’ (Perundangan)
v
Al-Quran menyatakan pelbagai perkara yang merangkumi semua asas
dan kaedah yang seharusnya ada dalam setiap undang-undang dan peraturan.
Contohnya, Islam mewajibkan keadilan, mengadakan musyawarah, menghilangkan
kesempitan, menolak kemudaratan, menunaikan amanah dan merujuk kepada orang
yang berkebolehan serta mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan.
v Dalam
penetapan hukum, al-Qur`an telah menggunakan beberapa cara antaranya ialah yang
pertamanya secara mujmal. Cara ini digunakan dalam banyak urusan ibadah iaitu
dengan menerangkan asas-asas hukum saja. Demikian pula berkaitan mu’amalat
(perniagaan), al-Qur`an hanya mengungkapkan kaedah-kaedah secara kuliyah.
Sedangkan perinciannya diserahkan pada as-Sunnah dan ijtihad para mujtahid.
Cara yang kedua ialah hukum yang agak jelas dan terperinci. Misalnya hukum
jihad, undang-undang perang hubungan umat Islam dengan umat lain, hukum tawanan
dan rampasan perang.
“Pergilah
kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan
ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan
berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu
pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu,
jika kamu mengetahui.” (at-Taubah:41)
v
Allah telah menetapkan
sesuatu hukum atas dasar keadilan dan keseimbangan dari segi jasmani, rohani,
individu mahupun sosial sekaligus dalam aspek ketuhanan. Sebagai cntoh dalam
ibadah solat misalnya yang hukumnya wajib bagi setiap muslim yang sudah aqil baligh
dan tidak boleh ditinggalkan atau diganti dengan apapun. Dari segi gerakan,
banyak kajian yang membuktikan bahawa gerakan solat sangat mempengaruhi saraf
manusia, jika ibadah ini dilakukan dengan benar dan khusyuk. Dalam pada itu
juga ibadah solat dapat membentuk jiwa menjadi tenang dan selamat. Tambahan
pula, hikmah Allah menghukumkan ibadah solat itu wajib ialah kerana melalui
ibadah solat yang sempurna dan khusyuk, akan dapat mencegah dari sifat keji dan
mungkar.
No comments:
Post a Comment