Tuesday, October 16, 2012

Menangani Kes Juvana


Definisi Juvana
Istilah jenayah juvana merujuk kepada pelanggaran undang-undang oleh
seseorang juvana. Mengikut akta Mahkamah Juvana, 1947 (AKTA 90) juvana
membawa makna seseorang yang boleh menanggung tanggungjawab jenayah yang
ditetapkan dibawah seksyen 82 Kanun Keseksaan dan dibawah umur 18 tahun. Berdasarkan definisi diatas, boleh difahami bahawa kes juvana ini sebenarnya merujuk kepada golongan belia atau murid sekolah yang melakukan kesalahan jenayah dan berusia dibawah 18 tahun. Hal ini demikian kerana apabila mereka melepasi usia 18 tahun, mereka akan dikira sebagai golongan dewasa. Untuk makluman, hukuman untuk kesalahan jenayah yang dilakukan oleh golongan dewasa dan mereka yang berusia kurang dari 18 tahun adalah berbeza.


Contoh – contoh Kes Juvana
Secara umumnya, terdapat pelbagai jenis kes juvana yang sering berlaku dalam kalangan belia kita. Antaranya ialah pukul, buli, curi, rogol, rompak, penagihan dadah, ponteng, ragut, tipu, pecah rumah, seks bebas, pengguguran bayi, gansterisme merokok, pil khayal/ ecstasy, rempit dan bunuh. Apabila kita melihat kepada gejala juvana tersebut, kita pasti akan berasa bimbang kerana majoritinya adalah kesalahan jenayah berat yang semakin sering kita dengar berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Lebih membimbangkan kita lagi adalah gejala tersebut dilakukan oleh golongan belia yang akan menjadi tonggak harapan dan pemimpin negara pada masa hadapan. Oleh yang demikian, langkah segera hendaklah diambil terutamanya oleh para ibu bapa serta pihak berkuasa dalam membanteras gejala ini dari terus berleluasa dan menjadi barah dalam masyarakat.


Punca – punca Kes Juvana
Secara umumnya, terdapat beberapa sebab yang menjadi punca utama kes juvana ini. Punca yang pertama ialah pengaruh rakan sebaya. Kita sedia maklum bahawa golongan belia banyak meluangkan masa mereka bersama – sama dengan rakan – rakan mereka, bahkan lebih daripada bersama ahli keluarga sendiri seperti adik beradik mahupun ibu bapa. Kita boleh simpulkan bahawa rakan – rakan sebaya merupakan antara pengaruh utama yang mencorakkan personaliti dan kelakuan golongan belia. Oleh yang demikian, sekiranya mereka tersalah pilih kawan, mereka akan mudah untuk terjerumus dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan memudaratkan diri. Pada usia ini, mereka tidak ada benteng ketahanan diri yang kukuh. Mereka berasa seronok berada dalam kelompok kawan yang mampu memberi kegembiraan.
Punca yang seterusnya ialah pengaruh media massa. Pada hari ini, kita dapat melihat dengan jelas sama ada melalui media cetak atau media elektronik, masing – masing kebanyakannya memaparkan filem-filem atau cerita-cerita ganas dan berunsur seks. Lebih membimbangkan lagi adalah filem dan bahan tidak bermoral terbabit boleh didapati dengan mudah melalui internet dan sebagainya. Akibatnya, golongan remaja yang melihat akan terpengaruh serta meresap dalam diri dan melahirkan keinginan untuk melakukannya sendiri. Apabila ini berlaku, masalah pergaulan bebas, seks luar nikah, pelajar mengandung, masalah buang bayi dan sebagainya akan timbul.
Selain itu, masalah dalam keluarga juga merupakan punca utama gejala juvana berlaku. Masalah seperti pertengkaran ibu bapa, kurang kasih sayang dan bebanan tugas yang dialami oleh ibu bapa menyebabkan mereka kurang memberikan perhatian kepada anak – anak. Para remaja pula berasa tertekan dan emosi mereka pastinya terganggu. Lalu, mereka mengambil jalan keluar dengan lari dari rumah, mengikut kawan-kawan, mengambil dadah dan sebagainya. Mereka bertindak demikian sebagai usaha untuk menangani tekanan dan masalah yang dihadapi. Oleh yang demikian, walau sibuk mana pun para ibu bapa, mereka hendaklah mengambil perhatian dan memberikan kasih saying yang secukupnya kepada anak – anak mereka. Melalui cara ini, anak – anak akan merasakan mereka lebih dihargai dan dikasihi oleh ibu bapa.
Tambahan pula, usia remaja dipenuhi dengan perasaan ingin mencuba. Jiwa mereka yang penuh dengan emosi sangat suka kepada sesuatu yang baru. Apabila melihat rakan dapat melakukan aksi / membuat sesuatu yang menyeronokkan mereka akan terikut-ikut. Antara aksi – aksi tersebut ialah merempit, hubungan seks, menghisap dadah, melakukan aksi aksi berbahaya, dan sebagainya. Oleh itu, mereka hendaklah memiliki pegangan diri yang kukuh dan bimbingan daripada para ibu bapa dan guru – guru supaya mereka tidak mudah terjebak untuk melakukan perkara – perkara terkutuk tersebut. Sesungguhnya, mereka merupakan tanggungjawab semua.
Akhir sekali ialah kurangnya didikan agama. Sebenarnya, ini merupakan sebab yang paling penting sekali, tetapi ia juga merupakan sebab yang paling kurang diberikan perhatian oleh sesetengah ibu bapa dan penjaga. Mereka lebih menekankan kepada kejayaan dalam bidang akademik dan sukan daripada akhlak dan sahsiah anak – anak.  Akibatnya, lahirlah golongan remaja yang kurang menghayati agama. Mereka bukan sahaja tidak takut kepada dosa, bahkan mereka juga tidak takut kepada balasan hari akhirat. Mereka lebih pentingkan keseronokkan dunia walaupun bertentangan dengan nilai dan agama. Lebih membimbangkan lagi apabila kebanyakkan golongan masyarakat mengamalkan budaya lihat dan pandang tetapi tidak ada usaha untuk menegur.


Cara – cara Mengatasi Kes Juvana
Sebenarnya, terdapat beberapa jalan penyelesaian kepada kes juvana ini. Cara yang pertama ialah memberikan didikan agama dan moral yang secukupnya kepada anak – anak sejak mereka masih kecil lagi. Mereka bukan sahaja pergi kelas mengaji al – Quran, bahkan menghadiri kelas fardu ain yang diadakan di sekolah. Sekiranya tidak ada, maka para ibu bapa hendaklah berikhtiar supaya mereka boleh mendapatkannya dengan apa cara sekalipun. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah mengamalkan dan melaksanakan hukum – hakam agama di rumah. Melalui ini cara ini, kesannya akan lebih jelas didapati oleh anak – anak. Mereka bukan sahaja mampu membenteng diri daripada pelbagai pengaruh negative, bahkan anak-anak akan berasa bersalah melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai agama. Secara tidak langsung akan menolak gejala buruk yang datang kepada mereka.
Tambahan pula, ibu bapa sewajibnya memberikan kasih sayang secukupnya kepada anak-anak. Kesannya, anak-anak akan merasakan diri mereka dihargai dan disayangi oleh ibu bapa dan keluarga.  Selain itu, penguatkuasaan oleh pihak berkuasa terutamanya tindakan yang lebih tegas terhadap media massa yang menyiarkan bahan atau filem berunsur ganas dan seks. Sesungguhnya, budaya negative ini boleh mempengaruhi jiwa remaja. Oleh itu, garis panduan yang lebih telus dan jelas hendaklah digubal untuk memastikan tiada filem atau bahan yang boleh merosakkan jiwa remaja.
Seterusnya, penggubalan dan pemindaan undang-undang juga memainkan peranan penting dalam membendung gejala ini. Tindakan lebih berat hendaklah dikenakan sebagai pengajaran kepada segelintir pihak yang cuba mengekploitasi remaja untuk kepentingan diri. Selain itu, tindakan tegas juga hendaklah diambil terhadap remaja yang terlibat sebagai pengajaran kepada rakan-rakan lain. Akhir sekali, mengadakan kempen kesedaran untuk remaja. Ini bertujuan mengingatkan remaja tentang impak negatif atau kemudaratan yang akan mereka perolehi jika terlibat dengan masalah sosial seperti penyakit, kecederaan, kematian dan kemusnahan hidup. 


Dalil – dalil Berkaitan

Sesungguhnya, di dalam al – Quran dan al – Hadith telah memberikan kita panduan dan tegahan supaya kita tidak mengikut hawa nafsu yang sentiasa membawa kita melakukan kejahatan. Anataranya ialah seperti ayat dibawah:
“Janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”. (Surah Sad, 38:26).
Selain itu, al – Quran juga mengesyorkan kita supaya menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai role model atau ikutan yang terbaik dalam kita menjalani kehidupan seharian. Para remaja hari ini sepatutnya lebih menyanjung dan mencontohi baginda S.A.W daripada golongan artis dan budaya Barat yang banyak melalaikan dan merugikan.
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Akhirat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, 33:22)
Tambahan pula, al – Hadith juga memberikan kita garis panduan dalam menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang berakhlak mulia dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir – anasir jahat yang sentiasa merosakkan kita serta mengajak kita melakukan perkara yang boleh mendapat kemurkaan Tuhan Yang Maha Esa.
Huzaifah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah kalian menjadi pak turut. Kalian menyatakan kalau orang lain buat baik kalian buat baik. Kalau mereka jahat kalian buat jahat. Akan tetapi mantapkanlah pendirian kalian. Jika orang baik kalian wajar berbuat baik. Jika mereka melakukan kejahatan janganlah pula kalian melakukan.“  

Kesimpulannya, kita hendaklah berpegang teguh dengan al – Quran dan al – Hadith dalam menjalani kehidupan kita sebagai khalifah – Nya dia atas muka bumi ini. Melalui cara ini sahaja, kita tidak akan mudah terpengaruh dan lalai dengan nikmat dunia yang sementara ini.