Monday, April 29, 2013

Fungsi Bahasa Melayu dalam Konteks Negara Malaysia


      Secara individu, huraikan fungsi bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia serta konsep budi bahasa dan kesantunan dalam masyarakat Melayu dan Malaysia.


Bahasa Melayu merupakan bahasa nusantara yang dipertuturkan oleh penduduk Kepulauan Melayu sejak zaman berzaman. Ia menjadi bahasa istana, bahasa pertuturan rakyat biasa bahkan bahasa perdagangan yang juga dikenali sebagai Lingua Franca. Ia memiliki keunikan dan keindahannya yang tersendiri kerana melalui ungkapan yang ringkas sahaja, penuturnya boleh menyampaikan maksud tersirat yang amat mendalam maknanya. Bahasa Melayu juga memiliki cabang bahasanya sendiri seperti simpulan bahasa, peribahasa, syair, pantun, sajak, gurindam dan lain – lain lagi. Dalam penulisan ini, saya akan menghuraikan fungsi bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia serta konsep budi bahasa dan kesantunan dalam masyarakat Melayu dan Malaysia.
Pertama sekali ialah fungsi bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia. Semenjak pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bahasa pengantar dalam institusi pendidikan menerusi Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Oleh yang demikian, boleh kita fahami bahawa bahasa Melayu memiliki beberapa fungsi utama iaitu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan yang menyatukan kepelbagaian kaum di Malaysia.
Langkah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi telah memastikan keindahan dan keasliannya akan sentiasa terpelihara. Hal ini kerana bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi sesebuah negara merupakan identiti dan simbol negara tersebut. Sebagai contoh, negara Jepun menggunakan bahasa Jepun sebagai identitinya, bahasa Perancis bagi negara Perancis, bahasa Jerman bagi negara Jerman dan sebagainya. Oleh yang demikian, bahasa Melayu merupakan lambang jati bahasa politik dan undang-undang dalam negara ini. Bukan itu sahaja, bahasa Melayu juga dijadikan sebagai bahasa utama dalam majlis – majlis rasmi seperti sambutan Hari Kemerdekaan, hari pertabalan Yang di – Pertuan Agung, watikah pelantikan jemaah menteri dan sebagainya. Urusan rasmi seperti surat – menyurat juga  menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
Fungsi bahasa Melayu yang seterusnya ialah sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Semenjak terhasilnya Laporan Razak pada tahun 1957 dan Laporan Rahman Talib tahun 1961, bahasa Melayu telah mengalami beberapa fasa penting. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan sekaligus diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Bahasa Melayu kemudiannya memikul tugas sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjadi bahasa ilmiah (Nik Safiah Karim 1986: 1). Seperti kita sedia maklum, sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, bahasa pengantar ilmu utama yang digunakan di kebanyakan sekolah – sekolah ialah bahasa Inggeris. Manakala bagi sekolah vernacular Melayu, Cina dan India, bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa ibunda masing iaitu bahasa Melayu, Cina, dan India. Oleh yang demikian, dengan terhasilnya Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib, sekaligus menjadikan seluruh sekolah – sekolah di Tanah Melayu menggunakan satu bahasa pengantar ilmu yang sama iaitu bahasa Melayu.
Kesannya, status bahasa Melayu telah dimartabatkan dan penggunaannya merupakan satu kewajipan dalam pendidikan. Melalui cara ini, perpaduan antara kaum di Malaysia telah menjadi semakin kukuh dan stabil dari hari ke hari. Hal ini kerana semua bangsa menuturkan bahasa pengantar ilmu yang sama iaitu bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, hak bahasa etnik atau kaum – kaum lain seperti Cina, India dan sebagainya tidak dinafikan. Bahasa – bahasa ini masih bebas digunakan atau dituturkan. Para pemimpin kita pada era awal kemerdekaan telah melaksanakan tugas mereka dengan sebaik mungkin dalam memastikan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan serta pengantar di negara ini kekal terpelihara dan dilindungi keasliannya. Sesungguhnya, menjadi tanggungjawab kita sebagai generasi pascamerdeka ini untuk meneruskan usaha murni tersebut. Selain itu, menjadi kewajipan para pemimpin institusi pendidikan, pensyarah dan guru untuk menyemai semangat cintakan bahasa Malaysia kepada generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Melayu, menghormati dan berbangga dengan bahasa Melayu sebagai identiti rakyat Malaysia.

Fungsi bahasa Melayu yang terakhir ialah sebagai bahasa perpaduan yang menyatukan kepelbagaian kaum di Malaysia. Dari segi sosiobudaya, bahasa Melayu telah memainkan peranannya dalam mengukuhkan semangat perpaduan dan pemikiran rakyat pelbagai kaum. Bahasa Melayu memiliki ciri sebagai alat komunikasi antara kaum di Malaysia. Bangsa Malaysia perlu sedar bahawa tanpa bahasa tersebut, sukar bagi mereka mencapai kesejahteraan sosial dan ekonomi. Jadi setiap rakyat yang mengaku dirinya sebagai rakyat Malaysia sewajarnya cinta, hormat dan bangga akan bahasa Melayu. Sebagai alat untuk memungkinkan penyatuan pelbagai kaum dengan latar belakang sosiobudaya dan bahasa masing-masing, bahasa Melayu memungkinkan pelbagai suku kaum dari pelbagai wilayah dan daerah di Malaysia mencapai keserasian hidup sebagai bangsa yang bersatu padu dengan tidak perlu meninggalkan identiti dan bahasa sukuan masing-masing. Dengan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa komunikasi dan perpaduan, rakyat menyedari betapa pentingnya meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan kaum dan kelompok yang sempit. Bahasa Melayu telah terbukti keberkesanannya sebagai alat perhubungan antara daerah, wilayah dan budaya hingga kesalahfahaman dapat dihindarkan. Bahasa Melayu tetap akan berperanan sebagai wahana komunikasi yang mutlak untuk masyarakat pelbagai kaum, tanpa mengira taraf sosial dan latar belakang.
Tambahan pula, bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan telah mampu merapatkan pelbagai jurang antara kaum. Bahasa ini bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga merupakan medium penghubung antara sosial, merobohkan sentimen perkauman, geografi dan status penduduk. Bahasa lain tidak mungkin akan dapat mengambil alih peranan tersebut. Bahasa Melayu telah mengelakkan salah faham, prejudis dan persepsi negatif dalam masyarakat majmuk apabila menjadi alat perhubungan antara penduduk dari pelbagai daerah, negeri dan wilayah. Bayangkan apakah yang akan berlaku sekiranya kita tidak mempunyai medium interaksi yang sesuai dan mudah untuk digunakan. Persengketaan dan konflik antara kaum mungkin akan berlaku dek kerana salah faham konsep komukasi dan bahasa. Oleh yang demikian, Pergaulan yang berkesan memerlukan bahasa yang mudah dikuasai serta difahami oleh kebanyakan rakyat. Bahasa Melayu akan terus berperanan sebagai fungsi utama di pentas kehidupan sosial, rasmi dan tidak rasmi rakyat Malaysia. Itulah fungsi yang akan menentukan kemantapan dan kestabilan hubungan sosial dalam rangka integrasi nasional yang tulen di Malaysia dan lambang kepada jati diri negara Malaysia.

Seterusnya, saya akan menghuraikan konsep budi bahasa dan kesantunan dalam masyarakat Melayu dan Malaysia. Konsep kesantunan berbahasa dalam masyarakat Melayu tidak dapat dipisahkan dengan nilai-nilai Islam kerana ajaran Islam telah menjadi suatu cara hidup yang merangkumi semua tatacara dalam kehidupan orang Melayu termasuklah berbahasa. Nilai-nilai Islam menjadi pengukur dan penentu terhadap kesantunan orang Melayu. Jelasnya, konsep kesantunan orang Melayu ialah perlakuan berbahasa dan bukan berbahasa yang dilakukan atas keikhlasan kerana Tuhan yang Maha Esa, Allah Taala. Jadi, konsep kesantunan orang Melayu melibatkan hubungan tiga penjuru iaitu melibatkan penjagaan hubungan antara manusia dengan Tuhan, serta memberatkan hubungan antara manusia dengan manusia iaitu pendengar. Sesungguhnya, kesantunan berbahasa telah menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu dan menjadi lambang jati diri bangsa tersebut sejak zaman berzaman. Pendek kata, orang Melayu sudah sekian lama disinonimkan dengan kesantunan dalam berbahasa dan perlakuan. Dalam usaha untuk memelihara dan membina jati diri bangsa Melayu yang unggul dan gemilang, semestinya setiap lapisan masyarakat menyemarakkan penggunaan bahasa yang santun dalam kehidupan seharian.
Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum hari ini, kita dapat melihat dengan jelas konsep budi bahasa dan kesantunan ini. Walaupun berbeza agama dan kepercayaan, tetapi setiap golongan masyarakat saling hormat menghormati antara satu sama lain dan saling tolong menolong. Amalan budi bahasa dan kesantunan amat diberi tekanan iaitu bermula seawal dari institusi keluarga lagi. Interaksi antara kaum pula tidak menghadapi sebarang konflik perkauman kerana setiap individu masyarakat mengamalkan budi bahasa yang luhur dan berpekerti mulia. Seperti yang kita semua sedia maklum, nilai murni dalam budi bahasa memberikan kekuatan sosial dan moral serta membentuk budaya tinggi sesebuah masyarakat.
Kesimpulannya, setiap rakyat Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keaslian dan martabat bahasa Melayu pada hari ini akan terus kekal dan terpelihara. Usaha murni ini memerlukan setiap golongan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan juga identiti serta simbol perpaduan bangsa Malaysia yang berjaya. Sesungguhnya bangsa yang maju mengamalkan bahasa dan budaya tinggi yang dituturkan dengan cara yang halus, menarik, berkesan, bersopan santun, mempunyai nilai estetika, intelektual serta nilai budaya yang mencerminkan tamadun dan kesusilaan bangsa yang berperibadi tinggi

2 comments: